KUALA LUMPUR 12 Sept – Prestasi perdagangan borong dan runcit terus menunjukkan momentum pertumbuhan positif apabila mencatatkan jumlah jualan mencecah RM156.4 bilion pada Julai 2025.
Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), ia merekodkan peningkatan 5% tahun ke tahun (YoY), dengan disokong terutama oleh prestasi kukuh dalam subsektor perdagangan borong dan runcit.
Kedua-duanya masing-masing menyaksikan pertumbuhan 5.4% dan 5.6%, manakala secara am perdagangan borong merekodkan jualan RM70.1 bilion, manakala perdagangan runcit menyumbang RM67.0 bilion.
"Sektor kenderaan bermotor turut menunjukkan pertumbuhan sederhana 1.6% dengan jumlah jualan RM19.3 bilion,” kata Ketua Perangkawan Negara, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin dalam kenyataan.
Mengulas lanjut, beliau menambah, peningkatan penggunaan pembayaran secara digital di seluruh negara berjaya memainkan peranan penting dalam menyokong aktiviti runcit sepanjang bulan tersebut.
Katanya, transaksi menerusi e-dompet meningkat kira-kira 69.8% kepada RM22.8 bilion; manakala penggunaan Real-time Retail Payments (RPP) didapati melonjak kepada sejumlah RM311.5 bilion.
Transaksi FPX meningkat 23.4% kepada RM41.4 bilion, selari pertumbuhan perbankan secara talian, sementara perbelanjaan kad kredit stabil pada RM18.8 bilion dan kad debit pula RM13.3 bilion.
“Data terkini itu mencerminkan perubahan tabiat pengguna yang semakin cenderung kepada transaksi digital dan mempercepatkan lagi peralihan Malaysia ke arah ekonomi tanpa tunai,” tambah Mohd Uzir.
Perdagangan borong kata beliau, terus mencatatkan prestasi memberangsangkan, didorong oleh kategori perdagangan borong khusus lain yang mencatat peningkatan 4% YoY kepada RM25.8 bilion.
Lonjakan kecil ini katanya lagi, dipacu oleh faktor pertambahan dalam aktiviti jualan bahan api iaitu petrol dan diesel, serta produk pelincir, bahan binaan, perkakasan dan bekalan paip.
Sementara itu, dalam sub-sektor runcit, jualan di kedai tidak khusus seperti pasar raya, pasar mini, kedai serbaneka dan gedung serbaneka didapati meningkat 5.5% YoY kepada RM25.8 bilion.
"Jualan runcit dalam talian juga tumbuh stabil apabila Indeks Jualan Runcit Dalam Talian meningkat 5.8% YoY, manakala pertumbuhan bulan ke bulan (MoM) adalah peningkatan 1.2%," kata beliau.
Mohd Uzir selain itu berkata, dari segi indeks volum YOY pula, perdagangan borong meningkat 5.9%, perdagangan runcit menokok sebanyak 4.4% dan kenderaan bermotor pula adalah bertambah 0.9%.
Secara bulanan (MoM), selepas pelarasan bermusim kata beliau, indeks volum meningkat sebanyak 2.8% yang menunjukkan permintaan domestik masih adalah kekal stabil menjelang suku akhir tahun ini.
Peningkatan berterusan sektor perdagangan borong dan runcit ini dilihat sebagai petanda positif perbelanjaan pengguna domestik terus sihat meskipun dalam suasana ekonomi global yang mencabar.
"Dengan pertumbuhan transaksi digital yang pesat dan sokongan daripada subsektor utama, Malaysia dilihat berada di landasan kukuh menuju transformasi ekonomi digital," katanya. - DagangNews.com








