KUALA LUMPUR 18 Sept – Pemulihan semula corak perbelanjaan pengguna selepas sambutan Hari Raya Aidiladha menjadi pemangkin utama kepada lonjakan prestasi Mynews Holdings Berhad.
Menurut CGS International (CGSI), ia terus optimis terhadap trajektori pertumbuhan syarikat berkenaan selepas mengikuti taklimat kedudukannya untuk suku ketiga tahun kewangan 2025.
Firma penyelidikan itu berkata, Mynews mengambil langkah proaktif dengan menggiatkan promosi di semua cawangannya bagi merangsang aktiviti jualan, khususnya dalam segmen makanan segar.
“Dengan perbelanjaan pengguna semakin pulih disokong bantuan tunai kerajaan dan faktor makro positif, kami yakin pertumbuhan Mynews berterusan pada FY25 serta FY26,” ujarnya dalam nota.
Selain itu kata CGSI, semua 39 cawangan Supervalue terlibat dalam skim Sumbangan Asas Rahmah (SARA), membolehkan Mynews meraih manfaat bantuan tunai RM100 kepada rakyat dewasa Malaysia.
Berdasarkan situasi itu, ia mengekalkan saranan 'tambah' dan harga sasaran RM1.00 dengan unjuran pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) teras sebanyak 60% dari FY24 hingga FY27.
Walaupun ada kebimbangan terhadap prestasi kedai jenama CU dan cabaran makro, ia menjangka keuntungan 4QFY25 bakal melepasi paras 3QFY25 yang sudah kembali ke tahap sebelum pandemik.
"Pengurusan Mynews turut dilihat komited dalam mengurus impak daripada kenaikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) serta pelaksanaan wajib kenaikan gaji minimum pekerja," kata CGSI.
Sehubungan itu, firma penyelidikan tersebut, menjangkakan kesan SST ke atas hasil kumpulan pada FY25 hanya sekitar 0.5% untuk produk jualannya manakala 0.4% lagi untuk sewaan premis.
Strategi pengoptimuman kos serta penyusunan semula campuran produk kata firma berkenaan, dijangka memberikan kelebihan operasi yang lebih tinggi dan pengukuhan berterusan margin.
CGSI menjangka CU mencatat keuntungan tahun pertama pada FY26, dan kerugian cukai terkumpul RM51 juta pula dimanfaatkan bagi mengurangkan cukai korporat dan menambah keuntungan bersih.
“Lonjakan keuntungan bersih konsisten, kami percaya penilaian Mynews wajar dinilai semula pasaran seiring keyakinan pelabur terhadap pemulihan dan kecekapan operasi,” kata firma itu.
Tambahan pula jelasnya, saham Mynews diniagakan 14.7 kali unjuran perolehan pada 2026, dan dianggap murah berbanding penilaian rakan setara serantau antara 17 hingga 23 kali.
Bagaimanapun, syarikat itu perlu berwaspada risiko termasuk peningkatan kos operasi yang ketara serta kadar pembaziran lebih tinggi daripada jangkaan. - DagangNews.com








