KUALA LUMPUR 25 Jun — Langkah Malaysia beralih ke arah era Pusat Data 2.0 merupakan detik penting dalam membina asas kukuh bagi memastikan pertumbuhan sektor digital negara berkembang.
Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata, pusat data diakui sedang bergerak pantas melalui peralihan generasi.
Peralihan global terkini katanya, seperti kes Jabatan Perdagangan Amerika Syarikat (AS) meminda peraturan bahagian kecerdasan bautan (AI), menandakan pemahaman digital yang tidak bersifat kaku.
"Ia mestilah strategik, kolaboratif dan berani. Bagi Malaysia, ini adalah seruan untuk bertindak. Kita mesti terus memimpin dengan ketangkasan, visi dan dasar pembangunan pusat data," katanya.
Beliau berkta pada ucaptama Siri Fokus Stratum Bursa Malaysia-Hong Leong Investment Bank Berhad (HLIB) yang bertajuk 'Pusat Data 2.0: Ekosistem dan Apa Seterusnya untuk Malaysia?', hari ini.
Mengulas lanjut, Sikh Shamsul berkata, ekosistem digital Malaysia merekodkan RM89.8 bilion jumlah pelaburan yang diluluskan pada suku pertama tahun ini, peningkatan 3.7 peratus tahun ke tahun.
Katanya, dari 2021 hingga Mac 2025, Pejabat Pelaburan Digital (DIO), inisiatif bersama MIDA dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), memudahkan RM310.7 bilion dalam pelaburan digital.
"Kami telah berjaya melepasi sasaran nasional sebanyak RM130 bilion, iaitu lebih awal daripada jadual ditetapkan kerajaan sendiri, dan menjana lebih 92,000 pekerjaan baharu," tambah beliau.
Kebanyakannya kata beliau, terlibat dalam kejuruteraan awan, operasi AI dan keselamatan siber serta mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab pusat data yang terkemuka di peringkat ASEAN.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan HLIB, Lee Jim Leng berkata, revolusi AI global telah mengubah setiap industri, dan pusat data muncul sebagai tulang belakang era baharu ini.
Bagaimanapun, beliau menyatakan bahawa transformasi itu berlaku dengan latar belakang ketegangan geopolitik, terutama dengan sekatan yang dikenakan baru-baru ini oleh AS ke atas eksport cip AI.
"Perkembangan itu memberi kejutan melalui rantaian bekalan teknologi global. Meskipun Malaysia bukan sasaran langsung, kita adalah pemain utama ekonomi dunia yang saling berkaitan," katanya.
Justeru tambahnya, peralihan ke arah Pusat Data 2.0 adalah ujian dan peluang yang sangat besar untuk Malaysia memanfaatkan kelebihan strategik dalam mengharungi ketidaktentuan global. - DagangNews.com








