Perak Transit untung RM15.6 juta pada 1QFY26, isytihar dividen interim kedua sebanyak 0.125 sen | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Perak Transit untung RM15.6 juta pada 1QFY26, isytihar dividen interim kedua sebanyak 0.125 sen

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 20 Mei - Perak Transit Bhd mencatat keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM15.6 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2026 dengan, disokong prestasi stabil operasi teras transit kumpulan.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia syarikat itu berkata, bagi suku tersebut, kumpulan mencatat keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak RM20.5 juta dengan hasil RM46.4 juta, mencerminkan daya tahan pendapatan berulang daripada segmen utama perniagaan.

 

Seiring prestasi kewangan yang kukuh, Perak Transit mengisytiharkan dividen interim kedua sebanyak 0.125 sen sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026, yang akan dibayar pada 19 Ogos 2026.

 

Kumpulan itu berkata ia kekal komited terhadap strategi pengurusan modal berdisiplin termasuk program pembelian semula saham yang sedang dilaksanakan, sebagai mencerminkan keyakinan terhadap nilai intrinsik serta prospek jangka panjang syarikat.

 

Menurutnya, syarikat kini memasuki fasa pertumbuhan baharu di bawah kepimpinan Timbalan Pengarah Eksekutif, Jeffrey Cheong, selaras dengan trend pasaran ke arah model perniagaan aset ringan dan pengembangan yang cekap modal.

 

Syarikat turut memperluaskan perniagaan ke segmen baharu melibatkan borong, perdagangan, runcit dan e-dagang barangan pengguna bergerak pantas (FMCG) bagi mempelbagaikan sumber pendapatan serta mengukuhkan aliran pendapatan berulang.

 

Menurut Perak Transit, strategi itu turut memanfaatkan aset terminal sedia ada dengan menukar sebahagian kemudahan kepada hab komersial pelbagai segmen bagi membuka peluang pengewangan baharu.

 

“Terminal kami akan ditransformasikan menjadi hab ‘live commerce dan gaya hidup’ yang menggabungkan pengangkutan, aktiviti runcit, keterlibatan digital serta pengalaman komuniti moden,” katanya.

 

Transformasi itu dijangka meningkatkan aliran pengunjung, memperluas aktiviti komersial serta menyokong pertumbuhan pendapatan jangka panjang kumpulan.

 

Dengan pelan strategik yang jelas, aset infrastruktur sedia ada dan pendekatan pertumbuhan berdisiplin, PTRANS berkata ia berada pada kedudukan baik untuk terus mencipta nilai mampan kepada pemegang saham. - DagangNews.com