KUALA LUMPUR 8 Dis – Perak Transit Berhad merancang menerbitkan program sukuk wakalah bernilai nominal RM1.5 bilion, yang berasaskan kepada prinsip Syariah Wakalah Bi Al-Istithmar.
Kumpulan berkenaan berkata, usaha tersebut dilaksanakan selepas ia menyerahkan maklumat berkaitan kepada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) di bawah rangka kerja garis panduan produk.
Program berkenaan mempunyai tempoh program berterusan dan membolehkan kumpulan itu menerbitkan sukuk secara berperingkat, termasuk instrumen patuh garis panduan kelestarian ditetapkan.
"Setiap terbitan sukuk berkenaan boleh diberi penarafan atau sebaliknya, bergantung kepada keputusan sebelum penerbitan," jelas Perak Transit dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.
Dana yang diperoleh itu katanya, akan dapat digunakan untuk pelbagai tujuan yang bersifat patuh Syariah, termasuk pembiayaan semula pinjaman, perbelanjaan modal, dan modal kerja syarikat.
Selain itu tambah kumpulan tersebut, ia boleh dilaksanakan bagi membiayai akaun simpanan perkhidmatan pembiayaan yang berkaitan, serta menampung kos penubuhan dan penerbitan sukuk berkenaan.
Maybank Investment Bank bertindak sebagai penasihat utama, pengatur utama dan ejen kemudahan, manakala Maybank Islamic dilantik sebagai penasihat syariah program tersebut. - DagangNews.com








