KUALA LUMPUR 24 Dis – TA Securities masih lagi mengekalkan saranan 'beli' ke atas Perak Transit Berhad dengan sasaran harga yang tidak berubah iaitu 46 sen sesaham, berdasarkan dua faktor utama.
Antaranya disokong menerusi program sukuk wakalah bernilai RM1.5 bilion yang berasaskan kepada prinsip Syariah Wakalah Bi Al-Istithmar sebagai tanda kekukuhan asas syarikat berkenaan sendiri.
Selain itu, firma penyelidikan tersebut menilai potensi pendapatan tambahan daripada projek terminal baharu diterima daripada Majlis Daerah Tanjung Malim dengan sewa bulanan selama 30 tahun.
"Program pinjaman Islam dengan Maybank Investment Bank sebagai penasihat utama bakal digunakan terutamanya untuk menyelesaikan pembiayaan sedia ada," kata TA Securities dalam notanya hari ini.
Sukuk berkenaan juga jelas firma itu, dapat dimanfaatkan oleh Perak Transit sebagai modal kerja tambahan dan perbelanjaan korporat, serta menampung kos yang berkaitan pelaksanaan pembiayaan.
Sehingga 30 September 2025, sukuk sedia ada bernilai RM685 juta, dengan hanya RM84.5 juta perlu dibayar dalam tempoh 12 bulan, dengan membawa kadar untung secara purata iaitu 5.14% sahaja.
Jumlah itu berasaskan 1-bulan KLIBOR dan TA Securities melihat penubuhan program sukuk baharu ini sebagai peneguhan asas jangka panjang, walaupun sahamnya baru-baru ini mengalami jualan susut.
"Dalam perkembangan lain, Perak Transit sudah menerima surat persetujuan bagi cadangan kolaborasi mengurus Terminal Bas Tanuong Malim dengan perbincangan masih lagi berjalan," kata firma tersebut.
Bagaimanapun, projek ini dijangka melibatkan perbelanjaan modal untuk baik pulih atau pengembangan terminal, kos operasi harian, kutipan yuran pengendali bas ekspres dan hasil sewaan lot kedai.
TA Securities namun melihat inisiatif terminal baharu ini sebagai positif secara sederhana kerana dijangka menyumbang pendapatan tambahan, walaupun kemungkinan adalah kecil buat permulaannya.
Firma penyelidikan tersebut justeru mengekalkan unjuran keuntungan FY25 hingga FY27 dan menilai Perak Transit pada satu kali daripada aset bersih ketara (NTA). - DagangNews.com








