Perak Transit alami tekanan aliran tunai 3Q25 akibat isu kelewatan pembayaran penyewa - TA Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Perak Transit alami tekanan aliran tunai 3Q25 akibat isu kelewatan pembayaran penyewa - TA Securities

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 20 Nov — Aliran tunai operasi Perak Transit Berhad merosot dalam 3Q25 selepas masalah penghutang melonjak kepada RM66 juta, susulan isu kelewatan pembayaran oleh beberapa penyewa.


Menurut TA Securities, walaupun isu kecairan jangka pendek menjadi perhatian, firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'beli', namun menyemak harga sasaran kepada 46 sen berbanding RM1.08.


Ia turut mengambil pendekatan penilaian yang lebih berhati-hati berikutan risiko panggilan margin masih lagi berlarutan, setelah syarikat itu mencatatkan keuntungan teras 9M25 sebanyak RM59.5 juta.


"Sebenarnya ini meningkat 12.1% tahun ke tahun (YoY) dan sejajar dengan unjuran, disokong pemulihan margin selepas ketiadaan kos terbitan sukuk pada tahun sebelumnya," kata firma itu dalam notanya.


Sementara itu jelas TA Securities, dividen interim keempat sebanyak 0.25 sen sesaham yang diumumkan oleh pengurusan Perak Transit, menjadikan jumlah pada FY25 kepada 1.5 sen dengan hasil adalah 5.3%.


Firma penyelidikan tersebut menambah, dari aspek kedudukan kewangan, nisbah gear bersih bertambah baik kepada 0.55 kali, manakala nisbah aset pantas dan liputan faedah berada pada paras sihat.


Bagaimanapun katanya, kenaikan penghutang yang mendadak iaitu sebanyak 75% suku ke suku (QoQ) atau 130% YoY, menyebabkan berlaku penyusutan ketara dalam aliran tunai operasi kumpulan itu sendiri.


"Kami turut meneliti tekanan jualan saham Perak Transit sejak Oktober 2025, yang mungkin berpunca akibat aktiviti jualan pendek dan panggilan margin ke atas pengasasnya, Datuk Seri Cheong (DSC)," katanya.


TA Securities berkata, harga saham jatuh kepada 33 sen pada 22 Oktober 2025 selepas dua broker menjual paksa 26 juta saham digadai, manakala pegangan DSC dikatakan susut daripada 30% kepada hanya 9%.


Meskipun jumlah saham tergadai berkurang adalah agak ketara pada November 2025 berbanding ketika Disember 2024, risiko panggilan margin baharu masih lagi boleh wujud ke atas syarikat berkenaan.


Firma penyelidikan itu menilai Perak Transit sebagai dinilai rendah dengan dagangan pada 4.3 kali pendapatan sesaham (EPS) 2026 dengan nilai aset ketara bersih diselaraskan FY26 selepas diskaun.


"Kami melihat kejatuhan harga baru-baru ini sebagai peluang, dengan jangkaan asas fundamental syarikat akan kembali mendominasi selepas risiko panggilan margin berkurangan," katanya. - DagangNews.com