IPOH 6 Mac - Penjawat awam di Perak akan menerima Bantuan Khas Kewangan Raya (BKK Raya) sebanyak RM1,500 melibatkan peruntukan kerajaan negeri berjumlah RM10 juta.
Bonus sempena Aidilfitri ini akan diterima lebih 13,000 penjawat awam negeri itu.
Menurut Menteri Besar Perak, Dato' Seri Saarani Mohamad, bantuan itu turut diberikan kepada guru lantikan negeri, Orang Besar Jajahan (OBJ) serta pekerja sambilan harian.
"BKK Raya tersebut akan dibayar pada 24 Mac sebagai tanda penghargaan kerajaan negeri atas khidmat penjawat awam.

"Kenaikan kadar BKK Raya tahun ini didorong oleh amalan penjimatan kerajaan negeri, peningkatan hasil termasuk menerusi perlombongan unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE), kestabilan politik, serta kemasukan pelabur," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Penjawat Awam Negeri Perak Darul Ridzuan Tahun 2025 di Laman Seri Ridzuan di sini malam tadi.
Pada tahun lepas kerajaan negeri Perak memberi bantuan raya sebanyak RM1,000 membabitkan lebih 8,000 penerima.
Saarani turut merakamkan penghargaan kepada pasukan Timbalan Pegawai Kewangan Negeri yang memainkan peranan penting dalam memastikan pengurusan kewangan negeri dilaksanakan berjalan berhemah.
"Kita berterima kasih kepada pasukan Timbalan Pegawai Kewangan Negeri yang pandai menjimatkan duit,” ujarnya.
Sebelum ini, kerajaan negeri Perak memberi BKK pada kadar dua bulan gaji semasa pembentangan Belanjawan Negeri 2025 pada November.
Ia melibatkan semua penjawat awam negeri termasuk guru lantikan negeri, OBJ, ketua kampung serta kakitangan di bawah kontrak program jangka pendek (MySTEP).
Bayaran penuh bantuan khas tersebut telah dibuat pada bulan Disember. - DagangNews.com







