Perak hasilkan 235 tan kopi varieti Liberica, nilai jualan cecah RM2 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Perak hasilkan 235 tan kopi varieti Liberica, nilai jualan cecah RM2 juta

Kopi varieti Liberica keluaran negeri Perak.
Oleh Zaki Salleh

IPOH 22 Okt - Negeri Perak merekodkan sebanyak 235 tan pengeluaran tanaman kopi varieti Liberica pada tahun ini dengan nilai pasaran berjumlah RM1.76 juta.

 

Lima daerah utama penanaman kopi adalah Hulu Perak, Larut, Matang dan Selama, Kuala Kangsar, Batang Padang dan Bagan Datuk.

 

Pengarah Jabatan Pertanian negeri Perak, Ts. Norsiyenti Othman berkata, ia melibatkan kawasan aktif penanaman seluas 29.41 hektar. 

 

Menurut beliau, sejumlah 29,094 pokok kopi yang ditanam 35 orang pengusaha telah diedarkan dengan sasaran pengeluaran sebanyak 8 metrik tan per hektar setahun.

 

Perak
Norsiyenti Othman

 

Perak
Sebahagian daripada peserta terdiri daripada pengusaha kopi dan komuniti tani yang hadir pada Seminar Kopi Jabatan Pertanian Negeri Perak Tahun 2025 di Ipoh.

 

 

“Sejak 2019 Perak telah dizonkan sebagai negeri penanaman kopi varieti Liberica dan sepanjang tempoh itu sebanyak RM1.05 juta peruntukan negeri dan Persekutuan telah disalurkan bagi program pembangunan tanaman kopi.

 

“Program pembangunan industri kopi akan terus diperhebatkan di bawah Rancangan Pembangunan Negeri Perak Ke-13 (2026–2030) dengan sasaran menambah kawasan penanaman, meningkatkan produktiviti serta melahirkan lebih ramai pengusaha dan pembeli biji kopi tempatan,” ujarnya dalam satu kenyataan.

 

Beliau sebelum itu hadir pada Seminar Kopi Jabatan Pertanian Negeri Perak Tahun 2025 yang diadakan di sebuah hotel di sini semalam.

 

Ia menghimpunkan kira-kira 70 peserta terdiri daripada pegawai pertanian, usahawan, pengusaha kopi serta wakil komuniti tani dari seluruh negeri bagi membincangkan perkembangan terkini industri kopi dan potensi Perak sebagai hab kopi tempatan.

 

Perak

 

Perak

 

Sesi pembentangan ini memberikan gambaran menyeluruh mengenai prestasi semasa serta arah tuju pembangunan industri kopi di Perak.

 

Bagaimana pun, Norsiyenti turut menjelaskan bahawa industri kopi di Perak masih berdepan jurang dalam rantaian pengeluaran, khususnya pada peringkat pemprosesan biji kopi

 

Situasi ini menyebabkan sebahagian besar pengusaha kopi tempatan masih mendapatkan biji kopi hijau yang telah diproses dari luar negara, sekali gus menjejaskan pasaran hasil tanaman tempatan.

 

“Kekosongan ini berpunca daripada kekurangan tenaga kerja ladang serta kos buruh yang tinggi menyebabkan ramai pengusaha hanya menanam tanpa memetik sendiri hasil tanaman mereka.

 

“Sehubungan itu, sejak tahun lalu kita telah mula membangunkan model baharu bagi mengisi jurang tersebut termasuk memberi insentif kepada beberapa usahawan tempatan yang berperanan sebagai pemproses di peringkat pertengahan rantaian pengeluaran.

 

“Apabila semakin berkembang, secara tidak langsung ia akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan di samping mengurangkan kebergantungan kepada biji kopi hijau dari luar Perak,” ujar beliau. - DagangNews.com