KUALA LUMPUR 25 Nov – PEOPLElogy Bhd memperkasa rakyat Malaysia dengan kemahiran digital dan berasaskan AI ketika kumpulan itu merekodkan pemulihan kewangan suku ke suku yang lebih kukuh serta bersiap sedia memperluaskan jejaknya di peringkat serantau.
Pengasas merangkap Pengarah Urusan, Allen Lee berkata, keyakinan tersebut disokong oleh prestasi kewangan 3Q25 yang menunjukkan peningkatan ketara serta permintaan yang semakin meningkat terhadap latihan pembangunan tenaga kerja digital.
“Sokongan rakan strategik dan komitmen negara membina tenaga kerja masa depan memberi keyakinan kepada kami untuk mengembang dan memperkukuh ekosistem pembelajaran digital serta AI.
“PEOPLElogy kekal teguh memperkasa rakyat Malaysia dengan kemahiran bernilai tinggi yang menjana mobiliti sosial, kebolehpasaran jangka panjang dan nilai ekonomi yang boleh diukur,” katanya dalam satu kenyataan.
Sebagai syarikat tersenarai yang masih pada tahun kewangan pertama, perbandingan tahun ke tahun belum tersedia.
Namun, suku ketiga menyaksikan lonjakan hasil 20% kepada RM7.25 juta berbanding RM6.04 juta pada suku sebelumnya, didorong penyempurnaan projek yang lebih tinggi serta peningkatan bil latihan dalam segmen Development.
Lebih ketara, syarikat beralih daripada kerugian kepada keuntungan apabila untung selepas cukai mencecah RM886,000, berbanding kerugian RM2.17 juta pada 2Q25, sebahagian besarnya disumbang oleh ketiadaan perbelanjaan berkaitan IPO.
Bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September, PEOPLElogy mencatat RM18.5 juta hasil dengan kerugian selepas cukai RM1.24 juta akibat perbelanjaan penyenaraian sekali sahaja.
Lee menyifatkan 3Q25 sebagai titik perubahan penting yang membuktikan ketahanan model perniagaan syarikat ketika permintaan terhadap transformasi tenaga kerja digital semakin kukuh dalam pasaran domestik.
“Dengan sokongan rakan kongsi dan fokus negara melahirkan tenaga kerja bersedia masa depan, kami yakin dapat meningkatkan skala ekosistem kami bagi memberi impak yang lebih besar,” katanya.
Beliau menegaskan PEOPLElogy akan terus melabur dalam pengukuhan infrastruktur pembelajaran digital dan AI serta meneruskan rancangan pengembangan serantau, selaras dengan pertumbuhan permintaan kemahiran digital di Asia. - DagangNews.com








