Penyusutan untung Apex Healthcare pada 3QFY25 disebabkan kerugian rakan kongsi - PublicInvest | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Penyusutan untung Apex Healthcare pada 3QFY25 disebabkan kerugian rakan kongsi - PublicInvest

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 25 Nov - Public Investment Bank menilai keputusan Apex Healthcare Berhad bagi 3QFY25 sebagai masih lagi dalam jangkaannya walaupun mencatatkan penurunan ketara keuntungan bersih.


Firma penyelidikan tersebut mengekalkan saranan 'neutral' dan harga sasaran RM2.64 berikutan tekanan margin yang berterusan dan kerugian daripada rakan kongsi strategik, SAG menjejaskan prestasinya.


Kumpulan tersebut mencatat keuntungan bersih RM15.6 juta, susut 14.4% tahun ke tahun (YoY), manakala untung untung bersih teras RM16.2 juta, susut 11.6% YoY selepas item bukan operasi dikecualikan.


"Prestasi pada suku ketiga ini memenuhi 70% unjuran kami, tetapi hanya 65% daripada konsensus pasaran, dengan tekanan margin terutama disebabkan oleh pelbagai faktor," kata PublicInvest dalam notanya.


Antaranya pendapatan pengedaran dengan margin lebih rendah serta kerugian lebih tinggi daripada SAG sebanyak RM3.6 juta akibat pemulihan pesanan yang lebih perlahan dan kos operasi yang meningkat


Margin keuntungan sebelum cukai (PBT) jatuh kepada 8.6% berbanding 10% pada 3QFY24, disebabkan hasil pengedaran bermargin rendah dan kos susut nilai meningkat di kemudahan Techlink dan Cheng 2.


PublicInvest turut menilai rekod pendapatan suku ini iaitu RM253 juta, naik 6.6% YoY, disokong oleh permintaan stabil farmaseutikal, produk kesihatan pengguna dan peranti khususnya di sektor swasta.


"Segmen pengedaran didapati mencatat sebanyak RM232.4 juta, bertambah kira-kira 7.1% YoY, manakala segmen pembuatan pula meningkat 1.6% YoY kepada RM20.5 juta," jelas firma penyelidikan tersebut.


Bagaimanapun, ia kekal berhati-hati terhadap pandangan jangka pendek Apex Healthcare berikutan cabaran makroekonomi semasa, namun prospek jangka panjang dilihat sebagai masih lagi positif.


Keadaan itu kata PublicInvest, berasaskan permintaan domestik yang kukuh, pengembangan berterusan senarai produk, peningkatan keupayaan digital dan cadangan pelupusan dua hartanah pelaburan.


Penjualan aset berkenaan yang terletak di Singapura jelas firma berkenaan, dijangka selesai pada 4QFY25, sekali gus diyakini berkeupayaan dalam meningkatkan kecekapan operasi dan modal syarikat.


"Kami menilai Apex Healthcare memulakan suku keempat FY25 dengan asas operasi yang stabil, tetapi tekanan margin dan kerugian rakan kongsi menyekat pertumbuhan," tambahnya. - DagangNews.com