Penyusutan nilai rupiah jejas operasi Pharmaniaga di Indonesia, kata MBSB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Penyusutan nilai rupiah jejas operasi Pharmaniaga di Indonesia, kata MBSB Research

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 17 Okt Pharmaniaga Berhad berdepan tekanan kos operasi susulan penyusutan nilai rupiah berbanding ringgit yang memberi kesan langsung kepada operasi anak syarikatnya di Indonesia.


Menurut MBSB Research, risiko terjemahan mata wang dan kos import bahan mentah yang kebanyakannya dalam dolar Amerika Syarikat (AS) dijangka terus menjejaskan prestasi kewangan segmen tersebut.


Tambah firma penyelidikan tersebut, kuasa beli di Indonesia juga berpotensi terjejas, sekali gus memberi impak kepada permintaan terhadap produk Pharmaniaga di pasaran negara jiran tersebut.


"Kami namun percaya fokus strategik kumpulan terhadap pasaran domestik an pengembangan ke rantau lain boleh menyerap impak negatif dari risiko mata wang asing ini," katanya dalam nota hari ini.


Pharmaniaga terus menunjukkan prestasi kukuh dalam segmen logistik dan pengedaran (L&D), dengan jumlah bagi 1HFY25 melepasi angka setahun penuh FY24, hasil pengaktifan produk konsesi baharu.


Ia juga menjangka keputusan 3QFY25 lebih baik susulan peningkatan konsesi kerajaan, meskipun keputusan 4QFY25 diramal sedikit lemah berikutan permintaan yang rendah daripada sektor awam.


Paling signifikan, Pharmaniaga kata MBSB Research, optimis menyambung balik bayaran dividen pada FY26 dengan unjuran kadar 70% daripada untung bersih, sejurus bebas status nota amalan 17 (PN17).


"Fasiliti biofarmaseutikal Pharmaniaga bersedia untuk pengeluaran insulin secara komersial mulai separuh kedua 2026, dengan kesemua peralatan dan proses sudah melalui fasa pengesahan," katanya.


Kapasiti pengeluaran maksimum mencecah 2.5 juta unit sebulan, mencukupi bagi memenuhi keperluan 25 juta dos insulin setahun membabitkan lebih empat juta pesakit diabetes dewasa di seluruh Malaysia.


MBSB Research menambah, turut mendapat perhatian ialah vaksin PV13 akan dikomersialkan Pharmaniaga pada 2027, sementara vaksin hexavalent jenis 6-dalam-1 dijangka dikeluarkan pada 2028 hingga 2029.


Produk insulin manusia katanya, sudah menjana RM3 juta hasil kemenangan tender hospital pengajar, manakala vaksin influenza yang dilancar pada Mac 2025 mencatat jualan RM1.5 juta setakat Jun 2025.


"Permintaan dijangka meningkat sepanjang musim selesema kali ini. Lima produk generik baharu pula menyumbang RM750,000 dan dijangka mencapai RM3 juta menjelang akhir FY25," jelas firma tersebut. 


Tambahan dua produk penjagaan luka kata MBSB Research, yang akan diperkenalkan Pharmaniaga pada tempoh 3QFY25 turut dijangka menyumbang positif kepada pertumbuhan keuntungan syarikat berkenaan.


Walaupun ia tidak mengeksport ke AS, firma itu mengakui risiko tidak langsung daripada tarif AS, termasuk gangguan bekalan bahan mentah dan tekanan harga akibat pengalihan produk ke pasaran ASEAN.


Pharmaniaga bagaimanapun sudah mengambil langkah mitigasi termasuk meningkatkan kapasiti tempatan,
mempelbagaikan sumber bahan mentah, menyimpan stok bahan penting dan meneroka pasaran baharu


"Kami mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran 32 sen, berasaskan unjuran perolehan sesaham (EPS) pada FY26 sebanyak 2.6 sen dan diskaun daripada rekod purata industri," kata MBSB Research.


Firma itu namun menyatakan keyakinan terhadap Pharmaniaga selepas keluar dari status syarikat bermasalah PN17, serta potensi daripada pelaksanaan automasi, pendigitalan dan pengoptimuman gudang.


Justeru, ia kekal positif terhadap prospek syarikat, tetapi akan terus memantau perkembangan operasi di Indonesia serta status konsesi kerajaan bagi tempahan insulin. - DagangNews.com