KUALA LUMPUR 28 Nov — YTL Power International Berhad memulakan FY26 dengan keputusan suku pertama yang perlahan, ekoran penyusutan margin di PowerSeraya dan kelemahan perniagaan mudah alih.
Menurut penganalisis, keuntungan terjejas walaupun disokong prestasi kukuh Wessex Water di Britain serta perkembangan berterusan projek pusat data (DC) dan teknologi dijana kecerdasan buatan (AI)
Tiga firma penyelidikan memberikan gambaran bercampur, namun kesemuanya mengekalkan pandangan berwaspada dengan unjuran pemulihan lebih jelas bergantung kepada hala tuju kontrak DC dan AI.
Maybank Investment Bank menyifatkan kedudukan pada 1QFY26 sebagai sedikit lemah, apabila keuntungan bersih teras diraih YTL Power sebanyak RM496 juta, hanya mencapai 21% daripada jangkaannya sendiri.
"Penyebab utama ialah kemerosotan PowerSeraya, dengan keuntungan sebelum cukai (PBT) susut 23% suku ke suku (QoQ) akibat harga purata tenaga kecil serta permulaan tamatnya kontrak gas kos rendah.
Ia juga menekankan kebimbangan pasaran terhadap kadar pengewangan perniagaan AI lebih perlahan, dan walaupun kapasiti 10MW mula beroperasi, dengan sumbangan ketara hanya dijangka bermula pada 2QFY26.
Sehubungan itu, firma tersebut memotong unjuran FY26 hingga FY28 sehingga 21%, serta menurunkan harga sasaran (TP) sesaham kepada RM3.80 daripada RM4.25, tetapi mengekalkan saranan 'pegang'.
MBSB Research pula menganggap keputusan YTL Power pada suku pertama itu sebagai sejajar jangkaan, dengan keuntungan teras sebanyak RM493.6 juta yang membentuk kira-kira 23% daripada unjurannya.
"Apa yang menariknya, kami menaikkan TP kepada RM4.92 sesaham, serta memindahkan tahun asas penilaian kepada FY27, sambil mengekalkan saranan 'beli'," jelas firma penyelidikan berkenaan.
Walaupun segmen penjanaan elektrik melemah, ia menekankan kekuatan Wessex Water melonjak 307% tahun ke tahun (YoY) dalam PBT berikutan kenaikan tarif 21% di Britain dan penyertaan Ranhill Utilities.
Sebaliknya tambah MBSB Research, PowerSeraya pula dinilai sebagai terjejas oleh faktor harga runcit dan 'pool' yang lebih rendah di Singapura serta pengukuhan ringgit berbanding dolar negara itu.
Ia juga positif terhadap hala tuju DC/AI dikendalikan YTL Power serta melihat pertumbuhan besar menerusi cadangan DC tambahan 100MW dan potensi keuntungan kapasiti penjanaan baharu yang kukuh.
Sementara itu, CGS International melaporkan keputusan 1QFY26 sebagai lebih lemah daripada jangkaan, dengan keuntungan bersih normal merosot 29% YoY, yang dikaitkan oleh penurunan ketara PowerSeraya.
"Begitu juga penyusutan segmen pelaburan dan kerugian lebih besar perniagaan telekomunikasi, dengan kami memberi amaran margin PowerSeraya mungkin terus terhakis apabila kontrak gas tamat," katanya.
Ia dijangka secara berperingkat antara 2025 hingga 2029, sementara pasaran tenaga Singapura bakal menerima lebih 3GW kapasiti baharu sehingga 2030, yang boleh menyederhanakan harga pasaran.
Dalam arena DC pula, CGSI melaporkan hanya kapasiti 10MW AI DC (JDC2) kini sudah beroperasi secara sepenuhnya, manakala baki sebanyak 10MW masih lagi dalam rundingan harga dan tempoh had kontrak.
Firma itu mengekalkan saranan 'pegang' tetapi menurunkan TP kepada RM3.30 selepas memotong unjuran untung bersih sebanyak 16%, dan menjangka prestasi saham YTL Power lemah. - DagangNews.com








