Penutupan WRP cetus kebimbangan kritikal sektor farmaseutikal, harga sarung tangan nitril dijangka naik 50% — MBSB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Penutupan WRP cetus kebimbangan kritikal sektor farmaseutikal, harga sarung tangan nitril dijangka naik 50% — MBSB Research

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 27 April — Penutupan syarikat sarung tangan tempatan, WRP Asia Pacific Sdn Bhd kini mencetuskan kebimbangan serius terhadap sektor farmaseutikal negara, menurut MBSB Research.


Firma penyelidikan tersebut dalam nota analisisnya menjangka berlaku risiko gangguan bekalan bahan perlindungan kritikal serta peningkatan harga bagi sarung tangan getah jenis nitril sehingga 50%.


Katanya, perkembangan itu berpotensi memberi impak kepada pengeluaran ubat dan vaksin, kerana industri farmaseutikal sangat bergantung kepada sarung tangan berketepatan tinggi dibekalkan WRP.


"Kekurangan bekalan memaksa pengeluar farmaseutikal bersaing bagi kapasiti terhad, dan melalui proses teknikal panjang, sekali gus berisiko melambatkan pengeluaran produk," kata MBSB Research.


Penutupan WRP, yang menyumbang 5% kapasiti sarung tangan Malaysia atau 11 bilion unit setahun, berpunca daripada tekanan kewangan akibat lonjakan harga bahan mentah berasaskan petrokimia.


Kos bahan utama seperti nitril dan butadiena meningkat lebih 70%, selain gangguan rantaian bekalan global yang menjejaskan jadual penghantaran serta memaksa pembekal menuntut bayaran pendahuluan.


MBSB Research melihat situasi ini sebagai peluang kepada pemain utama seperti Hartalega Holdings Bhd, Kossan Rubber Industries Bhd dan Top Glove Corporation Bhd mengembangkan pegangan pasaran.

 

sarung tangan_DagangNews


“Pemain besar industri ini mempunyai kelebihan dari segi skala operasi, simpanan stok bahan mentah serta keupayaan memindahkan kos yang mahal kepada pengguna mereka,” kata firma penyelidikan itu.


Pada masa sama jelasnya, tarif import tinggi yang dikenakan kerajaan Amerika Syarikat (AS) ke atas pengeluar sarung tangan dari China juga meningkatkan daya saing produk Malaysia di pasaran global.


Selain farmaseutikal, sektor penjagaan kesihatan, makanan dan minuman (F&B) serta kimia turut dijangka terkesan, degan kenaikan harga sarung tangan nitril sehingga 50% boleh menekan margin.


Penutupan WRP kata MBSB Research, mewujudkan kesan limpahan kepada pembekal bahan kimia, logistik dan pembungkusan yang kehilangan pelanggan utama, serta meningkatkan risiko lebihan inventori.


"Dalam jangka panjang, kami berpandangan industri sarung tangan akan menjadi lebih stabil selepas melalui proses 'pembersihan' susulan isu lebihan bekalan selepas pandemik Covid-19," tambahnya.


Sehubungan itu, ia masih lagi mengekalkan saranan 'beli' ke atas Kossan Rubber dengan harga sasaran (TP) RM1.37, Hartalega Holdings (TP: RM1.19), dan Top Glove Corporation (TP: 78 sen).


Bagaimanapun ujar MBSB Research, ketidaktentuan harga bahan petrokimia kekal sebagai risiko utama yang boleh menjejaskan kelangsungan industri jika berlarutan dalam tempoh sederhana. - DagangNews.com