KUALA LUMPUR 28 Nov — Penurunan kos arang batu setiap tan kepada AS$63 (RM260) pada 1QFY26 berbanding AS$80 (RM330) setahun lalu menjadi pemangkin kenaikan margin Malayan Cement Berhad.
Penganalisis berpendapat, situasi itu melonjakkan keuntungan bersih teras suku berkenaan kepada sekitar RM206.5 juta, meningkat 48% tahun ke tahun (YoY), menandakan permulaan kukuh bagi FY26.
Prestasi suku pertama itu turut menerima rangsangan daripada permintaan teguh simen serta konkrit siap bancuh (RMC), terutamanya daripada projek pusat data, gudang industri dan pembinaan kediaman.
Menurut MBSB Research, hasil kumpulan berkenaan turut meningkat sekitar 3.5% hingga 4% YoY, dengan segmen simen terus dikenal pasti menjadi penyumbang utama ke atas jumlah pendapatan Malayan Cement.
"Kami mengekalkan saranan 'beli' dan menaikkan harga sasaran (TP) kepada RM7.60, selepas keputusan suku pertama mencapai 35.3% daripada unjuran setahun penuh yang melebihi jangkaan," katanya lagi.
Firma penyelidikan itu menekankan bahawa peningkatan margin dalam segmen simen didorong kecekapan operasi dan kestabilan harga input tenaga, terutamanya pengurangan ketara daripada kos arang batu.
Keuntungan operasi segmen itu jelas MBSB Research, melonjak 33.6% YoY kepada RM284 juta, selain disokong inisiatif pemantapan proses serta amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).
Ia menjangka Malayan Cement kekal penerima manfaat utama daripada momentum projek pembinaan termasuk MRT3, LRT Pulau Pinang, pembesaran lapangan terbang, serta perkembangan pesat di Johor.
Sementara itu, CGS International pula mengekalkan saranan 'tambah' dan TP RM9.00, serta menyifatkan prestasi 1QFY26 sebagai sejajar jangkaannya sendiri, namun mengatasi anggaran konsensus Bloomberg.
"Penurunan kos arang batu merupakan faktor terbesar kepada pengembangan margin kasar kepada 31%, selain hasil segmen agregat dan konkrit yang meningkat 18% YoY," jelas firma penyelidikan tersebut.
Keadaan itu mengimbangi penurunan kecil 2% dalam jualan simen dan klinker, dengan ia turut melihat potensi Malayan Cement untuk memperkukuh kedudukan pasaran domestik yang kini sudah sekitar 65%.
CGSI berkata, keyakinan itu berdasarkan usaha syarikat mengekalkan harga simen walaupun pesaing menaikkan harga susulan penguatkuasaan lebih ketat terhadap lori terlebih muatan di jalan raya.
Pengurangan rebat untuk pelanggan katanya, menaikkan margin, manakala perbelanjaan pembangunan kerajaan mencecah RM430 bilion bagi 2026 hingga 2030 juga dijangka membantu syarikat berkenaan.
"Kami menjangka permintaan simen adalah kekal stabil dan menyokong pertumbuhan pendapatan Malayan Cement dalam beberapa tahun akan datang," jelas firma tersebut. - DagangNews.com








