Pentamaster dijangka raih manfaat pertumbuhan jangka panjang segmen rumusan automasi kilang, kata RHB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pentamaster dijangka raih manfaat pertumbuhan jangka panjang segmen rumusan automasi kilang, kata RHB Research

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 24 April — Pentamaster Corp Berhad dijangka menerima manfaat daripada pertumbuhan jangka panjang segmen rumusan automasi kilang, disokong oleh peningkatan penggunaan automasi pembuatan, kata RHB Research.
 

Firma penyelidikan tersebut berkata, perkembangan itu yang kini merentas pelbagai industri diyakini mampu menangani isu ketidaktentuan jangka pendek berterusan terhadap syarikat pembuatan produk teknologi tempatan itu.


Selain itu katanya, situasi berkenaan dijangka meredakan kebimbangan pelabur dalam isu perang perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China sehingga menyebabkan saham Pentamaster terlebih dijual. 


"Penilaian semasa di bawah paras minimum memberikan peluang kemasukan yang baik untuk para pelabur," kata RHB Research dalam satu nota kajiannya dengan terus mengekalkan saranan "beli" ke atas saham syarikat itu.


Ia bagaimanapun menyemak semula harga sasaran dengan menetapkan ramalan baharu iaitu hanya RM4.17 sesaham berbanding sebelum ini RM4.81 berikutan faktor ketidaktentuan antarabangsa ke atas sektor teknologi.


Firma penyelidikan itu berkata, penangguhan sementara tarif AS ke atas pelbagai produk semikonduktor dan barangan elektronik selama tempoh 90 hari serta disifatkan sebagai satu kelegaan yang besar.


Perkembangan sementara itu kata RHB Research, memberi peluang kepada sektor berkenaan untuk mengelakkan berlaku kejutan permintaan jangka pendek tetapi pengenaan tarif berbeza ke atas cip mungkin adalah positif.


"Keadaan tersebut djangka mengurangkan pergantungan AS kepada China namun perubahan dasar, atau tarif baharu yang dikenakan oleh kedua-dua negara itu boleh mencetuskan semula senario ketidaktentuan," katanya.


Walaupun tiada gangguan besar terhadap pesanan kritikal secara berterusan, pelanggan Pentamaser mengamalkan pendirian yang lebih berhati-hati terhadap pesanan baharu atau belum dimulakan.


Keterlihatan jangka pendek syarikat berkenaan pula adalah kekal terhad, dengan kemungkinan ada kelewatan dalam memuktamadkan tempahan apabila pelanggan menggunakan pendekatan tunggu dan lihat.


Pada 4QFY24 kata RHB Research, buku pesanan kumpulan adalah sebanyak RM400 juta, dengan pembahagian yang hampir sama untuk peralatan ujian automatiknya dan segmen rumusan automasi kilang. - DagangNews.com