KUALA LUMPUR 25 Jun — Penstrukturan semula tarif elektrik di Semenanjung Malaysia mulai 1 Julai 2025 dijangka hanya memberikan kesan minimum terhadap inflasi keseluruhan, kata CIMB Securities.
Firma penyelidikan tersebut berkata, kesan langsung akibat pelarasan tarif berkenaan oleh Suruhanjaya Tenaga juga diramal tidak begitu besar terhadap indeks harga pengguna (IHP) utama.
Katanya, berdasarkan pengiraan bil Tenaga Nasional Berhad, pengguna domestik di bawah 1,000 kilowatt sejam (kWj) sebulan dijangka mendapat manfaat paling banyak daripada diskaun diberikan.
Sebanyak 85 peratus pengguna kediaman yang bersamaan dengan sekitar 7.7 juta isi rumah pula serta menggunakan kurang 600 kWj akan menerima pengecualian penuh caj runcit dan cukai perkhidmatan.
"Elektrik memegang 2.7 peratus berat dalam IHP, dan dengan purata penggunaan dianggarkan pada 440 kWj, impak IHP setahun penuh mungkin bawah -0.1 mata peratusan," katanya dalam satu nota kajian.
CIMB Securities menambah, tarif kali ini juga memperkenalkan rebat disasarkan melalui Insentif Kecekapan Tenaga, dan perluasan waktu luar puncak di bawah skim penetapan harga Masa Penggunaan.
Ia melibatkan penambahan dari 10 malam hingga 2 petang berbanding sebelum ini hanya hingga 8 pagi, dan ini meningkatkan potensi penjimatan untuk isi rumah penggunaan rendah hingga sederhana.
Sementara itu kata firma tersebut, trajektori tarif masa depan di bawah mekanisme Pelarasan Bahan Api Automatik akan bergantung kepada pergerakan pertukaran asing dan harga bahan api pasaran.
Keadaan berkenaan terutamanya dipengaruhi perkembangan semasa arang batu dan gas asli global, yang secara kolektif menyumbang kira-kira 90 peratus daripada campuran tenaga di Malaysia.
“Walaupun harga bagi kedua-dua komoditi ini kekal lemah di pasaran antarabangsa berbanding tahun lepas, namun risiko geopolitik masih boleh menyebabkan turun naik harga," kata CIMB Securities.
Bagaimanapun tambah firma tersebut, dengan kebanyakan isi rumah dilindungi dan kos bahan api semasa agak terkawal, ia menjangkakan kesan inflasi akan datang masih kekal sebagai terhad.
Inflasi utama Malaysia susut kepada kira-kira 1.2 peratus tahun ke tahun pada Mei 2025 iaitu paras paling rendah sejak Februari 2021, dan ditambah pula dengan perdagangan luar yang lemah.
Ia mengekalkan saranan agar Bank Negara Malaysia mengurangkan kadar dasar semalaman sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus untuk menyokong pertumbuhan. - DagangNews.com








