KUALA LUMPUR 17 Okt – Penjimatan kos bahan api susulan pelaksanaan rasionalisasi subsidi RON95 secara menyeluruh dan bersasar dilihat antara faktor utama merangsang semula sentimen pengguna.
Menurut RHB Research, keadaan itu sekali gus mengukuh prospek sektor produk pengguna menjelang 2026 apabila pendekatan subsidi petrol lebih fokus dan inklusif berjaya mengelakkan tekanan inflasi berlaku.
Firma penyelidikan tersebut menambah, perkembangan positif itu malah memberi banyak ruang kepada isi rumah termasuk bergaji sederhana untuk lebih berbelanja terhadap barangan keperluan harian.
“Langkah penjimatan daripada subsidi petrol itu disalurkan semula ke dalam ekonomi semasa melalui perbelanjaan pengguna pula, terutama dalam segmen barangan runcit," jelas firma itu dalam notanya.
Situasi kitaran berkenaan tambah RHB Research, memberi manfaat langsung kepada syarikat pengeluar produk pengguna domestik meningkatkan jualan bagi menampung permintaan yang tinggi di pasaran.
Justeru, berpandukan kepada perkembangan dasar fiskal awam dan unjuran pemulihan sentimen, ia menaik taraf sektor produk pengguna kepada ‘overweight’ daripada hanya ‘neutral’ sebelum ini.
Perubahan tersebut berasaskan jangkaan pertumbuhan pendapatan syarikat-syarikat terbabit yang lebih kukuh dipacu oleh faktor kestabilan permintaan pengguna dengan ada lebihan tunai semasa.
"Beberapa pemangkin turut dikenal pasti, termasuk peningkatan peruntukan Sumbangan Asas Rahmah (SARA), pengukuhan ringgit, penurunan kadar faedah, dan lonjakan pelancongan," kata RHB Research.
Antara penerima manfaat terbesar dalam landskap ini ialah syarikat yang mempunyai asas pengguna domestik kukuh serta keupayaan menjana volum jualan lebih tinggi dalam kategori keperluan harian.
Tambah firma berkenaan, peralihan peruntukan menerusi Belanjawan 2026 kepada SARA memperlihatkan komitmen kerajaan terhadap kesejahteraan isi rumah miskin melalui pelbagai barang keperluan asas.
RHB Research menjangkakan lebih RM3 bilion disalurkan terus kepada perbelanjaan produk pengguna harian, yang mengukuhkan jualan syarikat seperti 99 Speed Mart dan Nestle (Malaysia) Berhad.
"Selain isu RON95 dan SARA, sentimen pengguna dijangka normal kembali selepas kejelasan mengenai tarif Amerika Syarikat (AS) dan pengumuman pakej rangsangan kerajaan pada Julai 2025," jelasnya.
Nilai ringgit yang semakin kukuh di pasaran pertukaran mata wang antarabangsa serta kadar faedah lebih rendah melalui Kadar Dasar Semalaman (OPR) menambah daya beli pengguna secara keseluruhan.
Pada masa sama kata RHB Research, Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026 juga dijangka memberi kesan ganda positif melalui unjuran kedatangan seramai 47 juta pelancong asing sepanjang tahun depan.
Kerajaan tambah firma penyelidikan tersebut, meramalkan perbelanjaan keseluruhan pelawat luar negara mampu mencecah RM329 bilion, berbanding cuma sebanyak M270 bilion diunjur pada tahun ini.
"Kami menamakan 99 Speed Mart, Nestle, dan Mynews Holdings Berhad sebagai pilihan utama sektor produk pengguna disebabkan kedudukan kukuh dalam runcit harian serta lokasi strategik," katanya.
Bagaimanapun jelas RHB Research, pelabur perlu juga berwaspada kepada risiko prospek positif ini termasuk pertumbuhan ekonomi perlahan, inflasi luar jangka dan lonjakan harga komoditi global.
Secara keseluruhan katanya, dengan asas domestik yang teguh dan strategi harga berdaya saing, syarikat dalam sektor ini dilihat mampu mengekalkan momentum pertumbuhan. - DagangNews.com








