KUALA LUMPUR 2 Dis – Kes penipuan kewangan di Malaysia terus meningkat dengan ketara apabila 41% rakyat Malaysia dilaporkan menjadi mangsa penipuan sepanjang tahun lalu, mencatat kenaikan 16% tahun ke tahun, menurut Laporan Runcit Adyen 2025.
Adyen dalam kenyataan hari ini berkata, bentuk penipuan yang dilaporkan merangkumi penipuan kad kredit, kecurian identiti serta pengambilalihan akaun, sekali gus mencerminkan tahap pendedahan risiko yang semakin membimbangkan dalam landskap pembayaran digital negara.
Golongan muda paling terdedah, apabila 65% Gen Z dan 61% golongan milenial mengakui pernah mengalami insiden penipuan, menjadikan kumpulan ini penyumbang terbesar dalam statistik mangsa.
Dari sudut perniagaan, impak kewangan turut meningkat apabila syarikat di Malaysia mencatatkan kerugian purata RM6.29 juta akibat penipuan, dengan 18% daripadanya berpunca daripada tuntutan pemulangan semula caj.
Menurut Adyen, peningkatan kes penipuan yang seiring dengan penggunaan kecerdasan buatan (AI) kini mengubah landskap keselamatan pembayaran, sekali gus menuntut pendekatan perlindungan transaksi yang lebih pintar dan dinamik.
Sebahagian 24% rakyat Malaysia menyatakan mereka lebih menghargai peruncit yang menggunakan pengesahan dua faktor, manakala 32% masih mengutamakan proses pembayaran yang pantas dan mudah, mencerminkan keperluan untuk mengimbangi aspek keselamatan dan kelajuan.
Laporan itu turut menunjukkan 32% rakyat Malaysia bimbang AI boleh meningkatkan risiko penipuan, namun pada masa sama 46% perniagaan merancang untuk melabur dalam alat pencegahan penipuan berasaskan AI pada tahun hadapan.
Menurut Adyen, peruncit terkemuka kini mulai beralih daripada langkah keselamatan bersifat terasing kepada pendekatan bersepadu yang menggabungkan kecerdasan data, automasi serta pengalaman pelanggan yang lancar.
Antara strategi utama termasuk penggunaan analitik berasaskan AI bagi membezakan pelanggan sah dan tingkah laku mencurigakan, selain pelaksanaan keselamatan dinamik berasaskan risiko, di mana transaksi berisiko rendah melalui proses tanpa gangguan manakala transaksi berisiko tinggi tertakluk kepada kawalan lebih ketat.
Teknologi seperti tokenisasi dan delegated authentication turut digunakan untuk menyokong transaksi berulang dan langganan secara selamat tanpa menjejaskan aliran daftar keluar.
Pengurus Negara Adyen bagi Malaysia, Soon Yean Lee berkata pendekatan keselamatan pembayaran perlu berkembang seiring jangkaan pengguna.
Menurutnya, keselamatan pembayaran kini bukan lagi sekadar mencegah penipuan, tetapi memastikan transaksi sah terus berjaya.
“Dengan mengenali pelanggan, memahami tingkah laku mereka dari semasa ke semasa dan menggunakan kawalan dinamik berasaskan kecerdasan, perniagaan dapat melindungi hasil pada masa sama menawarkan pengalaman yang lancar serta boleh dipercayai,” katanya. - DagangNews.com








