KUALA LUMPUR 29 Okt – Peningkatan tuntutan insurans akibat pelbagai risiko insiden cuaca ekstrem dijangka menjadi cabaran kekangan utama prospek LPI Capital Berhad, menurut MBSB Research.
Bagaimanapun tambah firma penyelidikan tersebut, kumpulan perkhidmatan perlindungan itu terus menunjukkan rekod prestasi yang kukuh sepanjang tempoh suku ketiga tahun kewangan 2025 (3QFY25).
Katanya, meskipun industri insurans am semakin kompetitif dengan cuaca tidak menentu berpotensi meningkatkan kadar tuntutan, ia berjaya mencatatkan pertumbuhan premium bertulis kasar (GWP).
"Kami mendapati GWP naik 8% tahun ke tahun (YoY) kepada RM1.54 bilion bagi 9MFY25, manakala 3QFY25 sahaja, GWP melonjak 12% suku ke suku (QoQ) kepada RM516 juta," kata MBSB Research dalam notanya.
Lonjakan itu jelasnya, mengatasi jangkaan firma tersebut, dengan segmen kebakaran menjadi pemacu utama pertumbuhan dengan kenaikan 11.4% YoY, diikuti segmen motor (8.4%) dan lain-lain (7.0%).
Prestasi berkenaan katanya mengatasi purata industri, tetapi nisbah gabungan meningkat 4 mata peratusan YoY kepada sebanyak 75.2%, berpunca daripada tuntutan yang lebih tinggi dan kos operasi meningkat.
Trend itu tambah MBSB Research, turut dihadapi industri lain akibat keadaan cuaca yang sukar diramal dengan keuntungan bersih teras LPI Capital pada 9MFY25 berjumlah RM296 juta, iaitu menurun 2% YoY.
"Kejatuhan ini masih dalam jangkaan dan kami mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran ialah RM15.70, bersandarkan unjuran pulangan ekuiti (ROE) sebanyak 16.5% pada FY26," kata firma itu.
Ia menjangka pelupusan saham Public Bank Berhad menjadi pemangkin utama melalui potensi dividen khas lumayan menjelang Jun 2026, selain sinergi operasi bersama yang meningkatkan kecekapan kos.
MBSB Research namun mengulangi amaran mengenai faktor cuaca ekstrem dan persaingan sengit dalam insurans am di pasaran tempatan boleh mengekang pertumbuhan jangka sederhana kumpulan tersebut.
LPI Capital ujarnya, kekal antara peneraju sektor dengan prestasi hasil kukuh, tetapi pengurusan risiko cuaca buruk akan menjadi penentu kepada trajektori keuntungan masa depan. - DagangNews.com








