KUALA LUMPUR 18 Jun — Peningkatan tarif pengendalian kontena di Pelabuhan Klang dilihat sebagai positif kepada Westports Holdings Berhad memperoleh hasil yang lebih tinggi, menurut penganalisis.
Firma-firma penyelidikan secara umumnya melihat kenaikan caj itu akan membantu dalam melaraskan semula unjuran pendapatan ke atas syarikat pengurusan pelabuhan tersebut dari FY25 sehingga FY27.
Perkembangan itu dijangka berikutan kenaikan sebanyak 15 peratus dalam tarif kontena mulai 15 Julai tahun ini, diikuti 10 peratus dari 1 Januari 2026 dan kenaikan 5 peratus lagi mulai Januari 2027.
BIMB Securities mengekalkan saranan "pegang" ke atas saham Westports namun menaikkan harga sasaran (TP) kepada RM5.25 berbanding RM4.65 kerana syarikat itu masih berdepan dengan cabaran luaran.
"Ini termasuk pergantungan berat kepada jumlah pemindahan penghantaran yang sensitif kepada faktor peralihan perdagangan global dan ketegangan geopolitik," katanya dalam satu nota kajian.
Ia merujuk perkembangan ketegangan di rantau Asia Barat, Selat Taiwan dan Laut China Selatan yang boleh mengganggu laluan perkapalan antarabangsa sehingga menjejaskan aktiviti pelabuhan utama.
Selain itu, tekanan persaingan daripada rakan serantau seperti Singapura dan Tanjung Pelepas manakala syarikat perkapalan mungkin menahan caj lebih tinggi atau mengubah laluan pelayaran.
Semakan tarif yang telah lama tertangguh itu kata BIMB Securities, bagaimanapun menyelaraskan kadar Pelabuhan Klang lebih tinggi mengatasi rakan serantau seperti Vietnam, Indonesia dan Thailand.
Dalam pada itu, Maybank Investment Bank (Maybank IB) menaik taraf saham Westports kepada saranan "beli" daripada "pegang" serta meningkatkan unjuran TP sebanyak 22 peratus kepada RM5.84 sesaham.
Firma itu namun memberi amaran kesan daripada semakan tarif itu akan beransur-ansur lemah ke atas hasil Westports disebabkan oleh struktur kontrak pelanggan, termasuk pemindahan penghantaran.
Tambahan pula, ia melihat caj tinggi sebagai lebih berkesan mencerminkan kos guna tanah dan tidak menggalakkan pengeksport cuba menjadikan pelabuhan sebagai tempat penyimpanan kontena terbiar.
Di samping itu katanya, kenaikan daripada caj penyimpanan, yang belum diambil kira dalam unjuran pendapatan yang disemak, boleh memberikan peningkatan lagi kepada perolehan Westports selepas ini.
Maybank IB mengekalkan unjuran pertumbuhan kontena sebanyak 2% untuk FY25 hingga FY27 disokong oleh perdagangan stabil intra-Asia tetapi turut bimbang mengenai prospek perdagangan global lebih lemah.
"Ini terutamanya faktor ketegangan geopolitik yang berpanjangan boleh menjejaskan aliran pemindahan kapal dan kesesakan halaman secara berterusan terus menjadi risiko utama bagi syarikat," katanya.
Sementara itu, TA Securities juga telah menaik taraf saham Westports kepada saranan “beli” daripada “pegang” dengan menyemak semula TP kumpulan tersebut meningkat kepada RM5.57 berbanding RM4.72.
Firma penyelidikan itu berkata, pelarasan caj kontena membantu mengekalkan penarafan sukuk AAA kerana hasil digunakan bagi membiayai rancangan pengembangan Westports 2.0. - DagangNews.com








