KUALA LUMPUR 12 Jun — Pencapaian Malaysia mencatatkan pelaburan diluluskan sebanyak RM89.8 bilion bagi suku pertama 2025 bakal mewujudkan limpahan peluang pekerjaan baharu kepada rakyat di negara ini sekali gus mengurangkan kadar pengangguran.
Ia susulan kejayaan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) meluluskan 1,556 projek di sebalik berdepan persekitaran global yang mencabar.
Kesan limpahan daripada kesemua projek itu yang merangkumi industri pembuatan, perkhidmatan dan sektor utama, dijangka amat berpotensi besar dalam mewujudkan lebih 33,300 peluang pekerjaan baharu untuk diisi warga Malaysia.
Susulan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut gembira dengan pencapaian MITI meningkatkan 3.7 peratus nilai pelaburan yang membuktikan kepercayaan pelabur kepada kestabilan politik dan keupayaan guna tenaga tempatan.
Beliau berkata, daripada jumlah keseluruhan pelaburan diluluskan, sebanyak RM30.5 bilion melibatkan sektor pembuatan melibatkan 207 projek dan dijangka mewujudkan sejumlah 18,317 peluang pekerjaan.
Potensi besar itu juga dijangka membantu lepasan Pendidikan serta Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) untuk memperoleh kerjaya terbaik dengan kadar gaji permulaan yang ditawarkan adalah tinggi.
"Permintaan dalam negeri berdaya tahan, sokongan dasar kerajaan, dan prospek pelancongan kukuh juga membantu mengekalkan paras pengangguran yang rendah," kata Kenanga Research dalam nota kajiannya.
Firma penyelidikan itu menambah, secara umum, pasaran buruh tempatan dijangka stabil sepanjang 2025 apabila ekonomi domestik berkembang positif dan didorong suasana pelaburan perniagaan yang teguh.
Katanya, walaupun pertumbuhan diramalkan bersifat sederhana, Malaysia berkemungkinan akan mengelak daripada kelembapan mendadak dengan prospek perdagangan Amerika Syarikat-China yang bertambah baik.
Artikel berkaitan:
Malaysia catat pelaburan diluluskan RM89.8 bilion pada 1Q bakal wujudkan lebih 33,300 peluang pekerjaan
Pencapaian pelaburan hampir RM90 bilion bukti keyakinan pelabur terhadap kestabilan politik, keupayaan guna tenaga Malaysia - PM
Perbelanjaan pengguna sementara itu menurut Kenanga, kekal kukuh kerana pertumbuhan pinjaman isi rumah stabil dan menunjukkan tahap keyakinan pengguna masih sihat sejajar kapasiti perbelanjaan.
Semalam, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melaporkan kadar pengangguran Malaysia pada April 2025 jatuh ke paras paling rendah dalam tempoh satu dekad dengan merekodkan sebanyak 3.0 peratus.
Berdasarkan perspektif makro ekonomi, kadar tersebut dianggap sebagai guna tenaga penuh dengan baki mereka yang tidak bekerja pula memiliki peluang amat besar bagi mencari banyak pekerjaan baharu.
Bagi BIMB Securities, gabungan pertumbuhan pekerjaan yang stabil dan penurunan kadar pengangguran daripada data terkini DOSM itu menunjukkan ramai pencari kerja berjaya mendapatkan pekerjaan.
Bagaimanapun firma itu berkata, terdapat halangan seperti isu ketidaktentuan perdagangan global dan tarif AS yang boleh menjejaskan pekerjaan sektor elektronik, jentera serta barangan perantaraan.
Kebimbangan pembuangan pekerja tambahnya, mungkin melanda negeri-negeri tertentu yang diketahui mempunyai kadar eksport produk ke pasaran antarabangsa cukup tinggi seperti Pulau Pinang dan Johor.
"Sektor berorientasikan eksport memang perlu berwaspada ketika ini, kerana tarif AS jika dinaikkan kemungkinan boleh menjejaskan pekerjaan dan pertumbuhan gaji pekerja mereka," kata BIMB Securities.
Ia turut merujuk kadar pengangguran golongan belia tempatan yang masih berterusan dalam kalangan individu berumur 15 hingga 24 tahun dengan kelazimannya kekal pada lebih 10 peratus. - DagangNews.com








