KUALA LUMPUR 18 Sept – Peningkatan berterusan kos baja, upah buruh dan ketidaktentuan dasar perladangan dilihat terus mengekang potensi lonjakan hasil Hap Seng Plantations Holdings Berhad.
Menurut Phillip Capital, kesemua masalah berkenaan dikenal pasti masih lagi membelenggu prestasi perolehan kumpulan perladangan tersebut dalam jangka terdekat untuk merekodkan keuntungan bersih.
Firma penyelidikan berkenaan justeru mengekalkan saranan 'pegang' ke atas saham syarikat itu dengan harga sasaran selama 12 bulan akan datang diunjur tidak berubah kepada RM1.80 sesaham.
Ia namun menjangkakan pemulihan hasil lebih kukuh pada separuh kedua tahun kewangan 2025 berikutan musim puncak pengeluaran tandan buah segar (BTS) dan harga minyak sawit mentah (MSM) yang stabil.
“Walaupun prestasi 1HFY25 agak lemah susulan pengeluaran BTS suram serta kos pengeluaran tinggi, 2HFY25 dijangka positif dengan pemulihan hasil dan margin,” kata Phillip Capital dalam notanya.
Keyakinan itu tambahnya berdasarkan kos pengeluaran MSM direkodkan Hap Seng bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini meningkat kepada RM2,603 setiap tan, naik kira-kira 3% berbanding tahun lalu.
Situasi berkenaan jelas firma itu dipacu oleh kos buruh lebih tinggi dan output yang lemah. Kos itu mungkin melepasi paras RM2,300 setiap tan jika pemulihan pengeluaran tidak seiring jangkaan.
Di samping itu kata Phillip Capital, harga baja diramal meningkat 15% lagi pada 1H26, didorong kenaikan harga bahan mentah global, caj pengangkutan serta ketegangan perdagangan antarabangsa.
“Kos operasi kumpulan ini dijangka kekal tidak menentu dalam masa terdekat dan akan terus memberi tekanan ke atas margin keuntungan keseluruhan Hap Seng sendiri,” jelas laporan firma tersebut.
Meskipun berdepan tekanan kos, syarikat itu mengekalkan harga jualan premium menerusi pematuhan piawaian pensijilan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) termasuk dari Kesatuan Eropah (EU).
Perkembangan positif itu kata Phillip Capital membolehkan kumpulan tersebut memperoleh pariti atau premium berbanding harga penanda aras ditetapkan oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).
Pengeluaran BTS dijangka kekal mendatar sekitar 656,000 tan bagi 2025 iaitu naik hanya 1% tahun ke tahun (YoY), dengan sumbangan 2H25 sebanyak 58% hasil pemulihan cuaca dan produktiviti ladang.
"Bagaimanapun harga purata MSM setakat Ogos 2025 pada RM4,312 setiap tan, yang menyokong sentimen pasaran, tetapi harga ini dijangka jatuh beransur kepada RM4,020 satu tan pada 2026," katanya.
Phillip Capital berkata, harga diramal turun lagi kepada RM3,920 setiap tan pada 2027, yang mencerminkan prospek permintaan global lebih berhati-hati dan gangguan rantaian bekalan.
Hap Seng namun kekal komited kepada pemegang saham menerusi dasar pembayaran dividen 65%, dengan jangkaan dividen sesaham 10 sen bagi FY25, memberikan hasil dividen 5%, melebihi purata sektor.
Sehubungan itu, ia mengekalkan unjuran pendapatan syarikat kekal dari 2025 hingga 2027, berikutan ketidaktentuan dasar, risiko harga dan kos yang meningkat masih menjadi penghalang utama potensi
“Walaupun prospek 2H25 lebih cerah, tetapi tekanan kos dan dasar kekal sebagai halangan utama kepada lonjakan prestasi jangka sederhana syarikat,” tambah Phillip Capital. - DagangNews.com








