Peningkatan hasil segmen kondom gagal bantu Karex catat untung pada 1QFY26 – RHB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Peningkatan hasil segmen kondom gagal bantu Karex catat untung pada 1QFY26 – RHB Research

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 27 Nov – Meskipun segmen kondom sintetik nitril baharu membantu meningkatkan hasil 10% suku ke suku (QoQ), prestasi itu tetap tidak mengangkat keuntungan Karex Berhad pada 1QFY26.


RHB Research menegaskan, keuntungan teras kekal lemah dan di bawah jangkaan, menyebabkan ia menurunkan harga sasaran (TP) kepada 47 sen daripada 53 sen dan masih mengekalkan saranan 'jual'.


Kata firma penyelidikan tersebut, kumpulan itu melaporkan keuntungan teras RM5.4 juta, susut 9% QoQ dan 27% tahun ke tahun (YoY), yang hanya dapat memenuhi 20% daripada unjurannya dan 18% konsensus.


"Margin keuntungan kasar (GPM) Karex jatuh kepada 30.5%, ditekan pengukuhan nilai ringgit serta impak tarif Amerika Syarikat (AS), walaupun harga bahan mentah lebih rendah," katanya dalam nota.


Operasi sintetik baharu kumpulan berkenaan di Thailand pula menurut RHB Research, menyumbang kepada kadar cukai efektif rendah 3.3%, manakala dividen interim 0.5 sen diumumkan bagi suku tersebut.


Ia menilai impak tarif ke atas eksport ke AS meningkat ketara, menjejaskan keuntungan AS$500,000 (RM2.06 juta) dalam 1QFY26 berbanding hanya AS$50,000 (RM206,455) pada suku yang sebelumnya.


Karex jelas RHB Research, terpaksa menanggung sebahagian besar daripada kos tarif bagi pelanggan utamanya di pasaran AS, dengan pemindahan kos secara penuh pula dijangka mengambil banyak masa.


"Kami menurunkan anggaran keuntungan FY26 hingga FY28 sebanyak 6% hingga 13%, setelah mengambil kira kemas kini data kewangan dan andaian nilai tukaran asing," jelas firma penyelidikan berkenaan.


Ia menjangka GPM FY26 boleh berkembang sedikit hasil campuran produk margin lebih tinggi, namun memberi amaran nilai dolar AS yang terus lemah dan tindakan balas tarif AS kekal menjadi risiko.


TP baharu pula kata RHB Research, adalah berasaskan penilaian FY26F, yang mencerminkan diskaun 20% hingga 30% daripada penilaian normal FY14 hingga FY15 susulan tekanan berterusan terhadap hasil.


Bagaimanapun ujarnya, permintaan tinggi bagi produk baharu, pergerakan stabil mata wang, perubahan positif dasar perdagangan global, serta kos operasi rendah akan membantu Karex. - DagangNews.com