Peningkatan harga saham Life Water dinilai masih terbatas, MBSB Research kekal saranan ‘neutral’ | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Peningkatan harga saham Life Water dinilai masih terbatas, MBSB Research kekal saranan ‘neutral’

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 25 Nov - MBSB Research menegaskan unjuran kenaikan harga saham Life Water Berhad dinilai kekal terbatas, walaupun syarikat memulakan FY26 dengan keputusan kukuh selari jangkaan.


Justeru firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'neutral' dengan harga sasaran tidak berubah pada RM1.11 kerana percaya pelbagai faktor positif utama sudah diambil kira dalam penilaian semasa.


Katanya, kumpulan tersebut mencatatkan pendapatan RM51.2 juta pada 1QFY26, naik 15.0% suku ke suku (QoQ) dan 20.3% tahun ke tahun (YoY) dengan untung bersih RM9.4 juta (+3.0% QoQ; +24.8% YoY).


"Angka ini mewakili 24% daripada unjuran kami dan 31% konsensus, menunjukkan prestasi suku pertama yang stabil, walaupun tiada dividen diumumkan untuk suku itu," kata MBSB Research dalam notanya.


Pertumbuhan positif tersebut jelasnya, dirangsang oleh kapasiti pengeluaran lebih besar selepas perluasan loji Sandakan Sibuga pada Jun 2025 dan usaha penyatuan pertama yang melibatkan Twinine Sdn Bhd.


Anak syarikat yang diambil alih 100% dengan bayaran tunai RM10.5 juta itu kata firma berkenaan, sudah menyumbang sebanyak RM2.1 juta atau kira-kira 4.1% pendapatan keseluruhan kumpulan tersebut.


Berdasarkan perkembangan positif itu jelas MBSB Research, segmen air minuman kekal sebagai amat dominan dengan mencatatkan sebanyak 84.8% daripada keseluruhan jumlah jualan Life Water sendiri.


"Kenaikan volume dan kecekapan operasi mengangkat untung sebelum cukai (PBT) 34.5% QoQ, namun pertumbuhan untung bersih lebih kecil disebabkan kadar cukai pula yang melonjak," tambahnya lagi.


Penyusutan tersebut jelasnya berikutan elaun pelaburan semula tidak diterima, sekali gus memberi kesan ke atas keuntungan bersih apabila margin merosot kepada 18.3% berbanding 20.3% pada 4QFY25.


Walaupun begitu kata MBSB Research, margin kasar didapati masih lagi meningkat kepada 48.5%, yang mencerminkan penggunaan kapasiti adalah lebih baik dan campuran jualan semakin menguntungkan.


Life Water memanjangkan tempoh penggunaan RM4.6 juta baki hasil tawaran awam permulaan (IPO) untuk sistem automasi di salah sebuah lojinya daripada 14 bulan kepada 32 bulan selepas penyenaraian.


"Lanjutan ini dibuat bagi memberi ruang kepada proses pematuhan regulatori, kajian teknikal dan pemilihan vendor serta garis masa perolehan sistem automasi yang lebih panjang," jelas firma itu.


MBSB Research menambah, setakat kini, RM34.2 juta daripada RM63.4 juta hasil IPO telah digunakan, dengan Life Water dijangka mengekalkan pertumbuhan melalui permintaan stabil di Sabah dan Sarawak.


Di samping itu katanya, kapasiti pengeluaran tahunan meningkat kepada 626 juta liter dan ia bakal meraih potensi kuat menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 serta penambahan lori dan gudang baharu.


Walaupun terdapat tekanan kos, peningkatan kecekapan operasi dan strategi harga yang berdisiplin membantu dalam mengekalkan asas pertumbuhan secara mampan. - DagangNews.com