KUALA LUMPUR 20 Mei – Kenaikan ketara harga emas menjadi pemacu Evergreen Max Cash Capital Berhad apabila mencatatkan keuntungan bersih hampir dua kali ganda bagi suku pertama FY26.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat pajak gadai itu meraih keuntungan bersih RM13.7 juta bagi tempoh tiga bulan berakhir 31 Mac 2026, naik 95.6% berbanding RM7 juta setahun lalu.
Pendapatan kumpulan itu jelasnya, turut melonjak 47.3% kepada RM67.6 juta berbanding RM45.9 juta sebelumnya, dengan prestasi kukuh tersebut dipacu pertumbuhan semua segmen utama perniagaan.
"Ini termasuk pajak gadai konvensional, peruncitan dan dagangan emas serta produk mewah, selain perkhidmatan pajak gadai secara patuh Syariah berasaskan Tawarruq," tambah Evergreen Max Cash.
Peningkatan itu turut disokong pertumbuhan pinjaman pajak gadai serta kenaikan purata harga emas kepada AS$4,604 (RM18,273) seauns dalam berbanding AS$3,062 (RM12,156) seauns pada setahun lalu.
Segmen pajak gadai konvensional merekodkan hasil RM16.7 juta, meningkat kira-kira 32.5% tahun ke tahun (YoY), didorong faktor peningkatan pinjaman pajak gadai 33.9% kepada sebanyak RM212.6 juta.
Sementara itu, segmen peruncitan dan dagangan serta produk mewah menjana RM38.7 juta hasil, naik 32.1%, dipacu jualan tinggi emas gadaian tidak ditebus, produk emas terpakai dan emas baharu.
"Paling menonjol ialah segmen Tawarruq yang mencatat pertumbuhan hasil luar biasa iaitu 204.2% kepada RM12.2 juta didorong peningkatan pinjaman iaitu RM109.4 juta atau 164.8%," jelasnya.
Pengarah Eksekutif merangkap Pengarah Urusan Kumpulan Evergreen Max Cash, Low Kok Chuan berkata, kumpulan tersebut memulakan tahun kewangan semasa dengan momentum pertumbuhan yang baik.
Prestasi ini katanya, mencerminkan momentum pertumbuhan berterusan disokong rangkaian cawangan yang semakin berkembang, peningkatan pengeluaran pinjaman dan akses pembiayaan yang lebih kukuh.
Beliau turut menambah, segmen Tawarruq kini muncul sebagai pemacu pertumbuhan yang amat penting susulan peningkatan permintaan masyarakat Islam terhadap perkhidmatan pajak gadai patuh Syariah.
"Permintaan pinjaman pajak gadai dijangka kekal khususnya dalam kalangan komuniti tiada akses penuh kepada perbankan formal dan golongan kurang mendapat perkhidmatan kewangan," katanya.
Ditubuhkan pada 2012, ia mengendalikan 29 kedai pajak gadai 'Pajaking' serta 70 cawangan pajak gadai Islamik di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Pahang, Perak dan Terengganu. - DagangNews.com
Peningkatan harga emas pacu untung Evergreen Max Cash hampir dua kali ganda kepada RM13.7 juta

Oleh AMREE AHMAD







