KUALA LUMPUR 12 Ogos — Momentum sektor utiliti dan tenaga boleh diperbaharui (RE) dijangka dipacu dengan peningkatan grid dan permintaan positif ke atas panel solar, menurut MBSB Research
Firma penyelidikan tersebut berkata, syarikat-syarikat terlibat akan meraih banyak manfaat daripada perubahan dasar struktur yang didorong oleh cita-cita tinggi matlamat penyahkarbonan Malaysia.
Tambahnya, di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR), solar dilihat akan masih kekal sebagai enjin pertumbuhan selain potensi keperluan sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS).
"Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan menjadi penerima manfaat utama dalam pemilikan aset daripada pelaburan pengembangan kapasiti RE dan peningkatan grid," kata MBSB Research dalam nota kajiannya.
Usaha itu juga katanya, memanfaatkan pemain kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) seperti Solarvest Holdings, Samaiden Group, Pekat Group, Sunview Group dan Northern Solar Holdings.
Setakat Julai 2025 tambahnya, Malaysia mencapai kapasiti operasi RE sebanyak 4.57GW, membentuk 17 peratus daripada kapasiti terpasang semasa negara dengan terus diterajui oleh solar pada 4.24GW.
MBSB Research berkata, proses penilaian untuk pelbagai kontrak projek solar berskala besar (LSS) 5+ telah selesai dan semua pembida yang menang tender itu akan dimaklumkan oleh kerajaan tidak lama lagi.
"Kali ini, program itu bakal dibahagikan kepada Pakej A dengan kuota 1.5GW untuk loji tenaga solar berasaskan darat, manakala Pakej B adalah untuk baki 500MW, khusus untuk solar terapung," katanya.
Sekiranya dilengkapkan, usaha tersebut akan menambah lagi kapasiti solar sebanyak 2GW menjelang 2027 dan dijangkakan aliran lanjut mengenai perkara ini diumum dalam tempoh beberapa minggu nanti.
Kata MBSB Research, ia meramalkan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra), atau Suruhanjaya Tenaga (ST) mungkin mengumumkan LSS6, yang menambah kapasiti solar sebanyak 2GW lagi.
Sebelum ini, tambah firma berkenaan, ia menganggarkan solar menjadi dominan, dengan menyumbang 25%, 39%, 52% dan 58% bahagian campuran kapasiti yang masing-masing pada 2035, 2040, 2045 dan 2050.
"Kadar pertumbuhan tahunan kompaun diramal 14 peratus antara 2025 dan 2050. Ini menyokong syarikat EPCC solar dan juga pemilik aset, melalui penjanaan kuasa untuk tempoh jangka panjang," katanya.
Dalam pada itu, MBSB Research memberi bayangan Petra dijangka mengumumkan versi baharu program pemeteran tenaga bersih (NEM) bulan ini yang menjadi mekanisme hibrid NEM dan penggunaan sendiri.
Kementerian tersebut katanya, dalam proses memuktamadkan program baharu, yang diselaraskan dengan struktur tarif dan direka beransur-ansur beralih daripada pergantungan subsidi. - DagangNews.com








