Pengusaha pusat beli-belah bimbang langkah peluasan SST tingkatkan kos sektor peruncitan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pengusaha pusat beli-belah bimbang langkah peluasan SST tingkatkan kos sektor peruncitan

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 13 Jun — Persatuan Pengurusan Kompleks Beli-belah Malaysia (PPK Malaysia) menyifatkan langkah peluasan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang bermula 1 Julai 2025 akan mengakibatkan peningkatan kos kepada sektor peruncitan. 


Katanya, selama ini pemain sektor berkenaan sebenarnya sudah berada di bawah 'tekanan serius' apabila kos semasa yang meningkat dan gangguan luaran telah menjejaskan tahap kestabilan operasi dan daya maju jangka panjang perniagaan masing-masing.


Organisasi itu turut merujuk suasana ketidaktentuan berterusan ekonomi global, termasuk perang tarif, gangguan rantaian bekalan, serta persaingan serantau dan digital yang semakin sengit, terus mencabar perniagaan runcit berkembang konsisten.


"Justeru, PPK Malaysia memberi amaran bahawa tekanan kos ini dan kenaikan tarif elektrik yang juga dijangka pada tarikh sama, boleh menjejaskan kesinambungan perniagaan serta melemahkan pula sentimen keseluruhan pasaran," katanya dalam kenyataan.


Selain itu katanya, mereka turut ditambah lagi dengan beban kewangan yuran setem baharu RM10 ke atas kontrak pekerjaan berkuat kuasa 1 Januari 2026, serta langkah rasionalisasi subsidi bahan api yang dijangkakan pada separuh kedua tahun ini.


Kadar penilaian hartanah katanya, menyaksikan kenaikan 25 peratus serta yuran lesen di bawah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) melonjak 600 peratus di samping gaji minimum mandatori ditambah kepada RM1,700 mulai 1 Februari 2025.


"Peruncit akan dipaksa menyerap atau memindah beban kos kepada pengguna, yang meningkatkan inflasi, mengekang perbelanjaan pengguna, menjejaskan prestasi perniagaan peruncit serta mengancam kemampanan dan kesinambungan pusat beli-belah," kata PPK Malaysia.


Katanya, peruncit sudah menghadapi banyak cabaran tambahan, seperti perang tarif yang yang membawa kepada pengurangan harga dan menghakis margin tempatan serta diburukkan lagi oleh platform dalam talian asing yang tidak terkawal, terutama dari China.


Negara berkenaan katanya, didapati mampu menawarkan banyak barangan dengan harga terlalu murah sehingga mewujudkan permainan yang tidak sekata untuk peruncit fizikal dan juga mengakibatkan berlaku penyusutan kedatangan pengunjung ke pusat beli-belah.


Sehubungan itu, PPK Malaysia menyarankan supaya kerajaan dapat menunda peluasan SST dan melaksanakan pendekatan secara berperingkat, bermula dengan 3 peratus sebelum beransur-ansur meningkat kepada 8 peratus dalam tempoh lima tahun.


"Kami juga berharap ambang pengecualian SST dinaikkan kepada RM2 juta dalam jualan tahunan bagi melindungi perniagaan kecil dan pengecualian caj perkhidmatan, yang bukan pendapatan sewa sebaliknya pemulihan kos operasi kawasan kongsi," katanya.


Penglibatan berfasa dan perundingan akan menjadi cara membina ke hadapan untuk menyokong kesinambungan perniagaan sambil menyumbang daya tahan ekonomi lebih luas malah mereka bersedia berkongsi perspektif industri dengan kerajaan. - DagangNews.com