Pengusaha inap desa, rumah tetamu di Manjung perlu daftar lesen premis perniagaan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pengusaha inap desa, rumah tetamu di Manjung perlu daftar lesen premis perniagaan

Inap desa dan rumah tetamu memainkan peranan penting dalam merangsang pelancongan dalam kawasan Majlis Perbandaran Manjung- gambar hiasan.
Oleh Zaki Salleh

MANJUNG 3 Okt - Sebanyak 36 inap desa (homestay) di bawah kawasan Majlis Perbandaran Manjung (MPM) telah diluluskan lesen premis rumah tetamu mengikut peruntukan undang-undang terkini.

 

Jumlah tersebut kecil berbanding angka sebenar iaitu 103 inap desa yang disahkan beroperasi secara aktif.

 

Yang Dipertua MPM, Tuan Muhammad Faizal Shah Safian Suri berkata, berdasarkan semakan pihaknya pula dianggarkan terdapat 258 buah inap desa di seluruh kawasan MPM. 

 

Menurut beliau, justeru pihaknya dari masa ke semasa mengeluarkan notis maklum balas kepada pengusaha-pengusaha ini supaya operasi mereka dilesenkan.

 

Perak
Tuan Muhammad Faizal Shah Safian Suri

 

“Semua inap desa di bawah kawasan MPM dikenakan caj pelancongan sebanyak RM3 untuk setiap rumah semalam.

 

“Ini merupakan inisiatif tambahan bagi membantu kerajaan negeri melalui pihak berkuasa tempatan memperbaiki mutu perkhidmatan di destinasi pelancongan Perak.

 

“Ia selaras dengan dasar yang ditetapkan di bawah Enakmen Hotel Perak 2023 serta Peraturan Hotel Perak 2024,” ujarnya kepada DagangNews.

 

Dalam pada itu, MPM telah mengendalikan sesi libat urus bersama 32 pengusaha rumah tetamu di kawasan pentadbirannya.

 

Perak

Sebahagian pemilik inap desa yang hadir pada sesi libat urus yang dikendalikan oleh MPM baru-baru ini.
 
Perak

 

Ia berkaitan pelaksanaan Peraturan Hotel Perak 2024 dibawah Enakmen Hotel Perak 2023 yang menjelaskan pengusaha industri penginapan perlu memohon lesen premis penginapan.

 

Jelas Tuan Muhammad Faizal, perkara ini seperti tertakluk dalam Perkara 2 berkenaan tafsiran dalam Peraturan Hotel Perak 2024.

 

Katanya, pada sesi tersebut pihaknya telah menerangkan tentang peraturan merangkumi motel, rumah tumpangan, rumah pemalaman, rumah tetamu dan homestay dengan kadar RM200 untuk 1 premis yang mempunyai 3 bilik dan tambahan RM20 untuk bilik seterusnya.

 

Turut dijelaskan berkaitan perbezaan inap desa dan juga rumah tetamu.

 

“Inap desa adalah penginapan berasaskan pengalaman kehidupan tempatan dan biasanya penginap akan tinggal bersama tuan rumah atau dalam rumah mereka. 

 

“Fokusnya adalah budaya, cara hidup, makanan dan aktiviti komuniti setempat.

 

“Manakala rumah tetamu menjurus kepada penginapan selesa dan bebas, seperti rumah sewa atau hotel bajet, tanpa aktiviti budaya. 

 

“Tetamu tidak tinggal bersama tuan rumah. Tuan rumah hanya menyewakan tempat dan lebih menekankan keselesaan, privasi dan kemudahan asas,” ujarnya.

 

Sesi ini memberi peluang kepada pihak-pihak berkepentingan untuk sama-sama mengetahui tentang keperluan dan operasi sekali gus menjamin kepentingan pelancongan di Manjung. - DagangNews.com