KUALA LUMPUR 11 Nov – Pengukuhan nilai ringgit berbanding yuan China menjadi pemangkin utama peningkatan keuntungan bersih MR DIY Group (M) Berhad pada suku ketiga tahun kewangan 2025.
Menurut penganalisis, kumpulan itu terus menikmati penjimatan kos import dan margin keuntungan kasar (GPM) kukuh sekitar 47% dan mereka mengekalkan saranan 'beli' terhadap saham syarikat ini.
RHB Research turut mengekalkan harga sasaran (TP) RM1.87 sesaham, menawarkan potensi kenaikan 17% dan hasil dividen 4% bagi FY26, dengan menyifatkan keputusan 9M25 memenuhi 74% daripada unjuran.
"Kenaikan margin ini disokong oleh pengukuhan ringgit yang menurunkan kos import kerana 70% produk MR DIY adalah daripada luar negara," jelas firma penyelidikan tersebut dalam notanya hari ini.
Selain itu katanya, skala operasi yang lebih besar hasil pembukaan 139 cawangan dengan jumlah kepada 1,528 kedai, turut mengimbangi tekanan daripada kenaikan gaji minimum pekerja dan tarif utiliti.
Bagi 3QFY25, keuntungan bersih susut 12% suku ke suku (QoQ) kepada RM139 juta, selaras penurunan kecil pendapatan 1% kepada RM1.2 bilion, dan mencerminkan sentimen pengguna yang berhati-hati.
Justeru, RHB Research menjangkakan pengukuhan ringgit akan terus menjadi faktor positif kepada margin keuntungan selain dasar fiskal awam seperti bantuan tunai dan rasionalisasi subsidi petrol RON95.
"Keadaan ini bakal menyokong kuasa beli pengguna, di samping kami melihat langkah itu positif bagi menumpukan kepada pengoptimuman produk dan peningkatan trafik pelanggan," kata firma berkenaan.
Artikel berkaitan: Untung bersih MR DIY naik 11.9% kepada RM136.1 juta pada 3QFY25 didorong pertambahan 26 kedai
Sementara itu, Maybank Investment Bank mengekalkan TP RM1.85 sesaham, berasaskan 24 kali gandaan nisbah harga kepada pendapatan (P/E) FY26, kira-kira 0.5 sisihan piawai di bawah purata sejarah.
Firma itu menyatakan keputusan 3QFY25 berada dalam jangkaan, dengan kesan kadar pertukaran asing menjadi penyumbang utama kepada penjimatan kos inventori, sekali gus mengekalkan GPM pada 47%.
Pendapatan pada 3QFY25 meningkat 6% tahun ke tahun (YoY), disokong oleh pembukaan 145 kedai baharu dan peningkatan transaksi sebanyak 8%, walaupun purata saiz bakul belian susut 3% kepada RM24.20.
"Kami menjangkakan prestasi pada 4QFY25 terus kukuh, disokong oleh musim perayaan hujung tahun dan cuti persekolahan yang kemungkinan besar meningkatkan perbelanjaan pengguna," jelas Maybank IB.
Firma itu turut menjangka margin kekal stabil sekitar 47% sekiranya trend pengukuhan ringgit berterusan, dan setakat akhir 3QFY25, MR DIY mengendalikan 1,528 kedai di bawah pelbagai jenama.
Kumpulan perlu meningkatkan pembukaan kedai dalam 4QFY25 bagi mencapai sasaran 190 kedai bagi tahun penuh, walaupun model firma itu mengunjurkan 160 kedai baharu setahun bagi FY25 hingga FY28.
Secara keseluruhan, kedua-dua firma berpandangan pengukuhan ringgit menjadi pemangkin utama kepada prestasi MR DIY dalam tempoh terdekat dan membantu mengekang inflasi kos. - DagangNews.com








