KUALA LUMPUR 27 April — CTOS Digital Berhad kembali meraih perhatian pasaran apabila potensi pemulihan harga sahamnya mampu mencecah 56% dalam masa terdekat, menurut RHB Research.
Perkembangan positif itu ujar firma berkenaan didorong pemangkin baharu daripada penguatkuasaan Akta Kredit Pengguna 2025 bermula 1 Mac 2026, dan strategi transformasi syarikat yang giat dilaksanakan.
Tambahnya dalam nota analisis terbaharunya, ia menegaskan penarafan 'beli' ke atas saham syarikat tersebut dengan harga sasaran (TP) RM1.11, selain menjangkakan hasil dividen stabil sekitar 4%.
“Gabungan pertumbuhan mampan, penilaian yang masih rendah dan keyakinan pelabur yang semakin pulih mula meletakkan CTOS dalam kedudukan strategik untuk kembali berkembang,” jelas RHB Research lagi.
Bagi suku pertama, ia mencatatkan pendapatan RM81.6 juta, naik 7.3% tahun ke tahun (YoY), dengan keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) melonjak 33.4% kepada RM19.6 juta.
Prestasi tersebut ujar firma berkenaan, disokong oleh pertumbuhan hasil serta sumbangan kukuh daripada syarikat bersekutu yang meningkat lebih 128%, selain kos kewangan yang lebih rendah.
RHB Research berkata, margin pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) kekal pada 24.3%, walaupun CTOS melabur besar dalam infrastruktur awan serta teknologi digital.
"Pertumbuhan hasil dijana oleh peningkatan dalam segmen akaun utama (+4.8%), operasi antarabangsa (+24.5%) dan pengguna langsung (+20%) hasil pangkalan pengguna yang melebihi 5 juta," tambahnya.

Di samping itu jelasnya, permintaan terhadap rumusan data secara analitik dan kecerdasan buatan (AI), turut dilihat menjadi pemacu utama kepada pertumbuhan berulang kumpulan tersebut ketika ini.
Menurut RHB Research, CTOS kini dalam fasa transformasi strategik untuk menjadi penyedia pintar dipercayai melalui pengenalan produk digital baharu, kolaborasi strategik serta pengoptimuman kos.
Firma penyelidikan itu menambahl penggunaan teknologi AI dan automasi dijangka menurunkan nisbah kos kepada pendapatan daripada sekitar 46% kepada 42% dalam tempoh tiga tahun yang akan datang.
"Pelaksanaan Akta Kredit Pengguna 2025 dilihat sebagai pemacu struktur, apabila pemberi pinjaman bukan bank termasuk skim beli sekarang bayar kemudian (BNPL) diwajibkan berkongsi data," katanya.
Langkah terbaharu itu tegas RHB Research, dijangka memperluaskan pangkalan data CTOS serta membuka peluang pengewangan baharu, khususnya dalam segmen pengguna tanpa sebarang rekod kredit formal.
Pada masa ini, saham kumpulan itu diniagakan pada kira-kira 16 kali nisbah harga kepada pendapatan (P/E), lebih rendah berbanding purata sektor, menjadikannya sebagai menarik dari sudut penilaian.
Bagaimanapun jelasnya, antara risiko utama termasuk perubahan persekitaran peraturan, kadar penerimaan pasaran yang lebih perlahan, isu litigasi serta potensi pelanggaran keselamatan data.
"Secara keseluruhan, kami berpandangan prospek jangka sederhana CTOS kekal positif, disokong asas perniagaan kukuh serta momentum transformasi yang berjalan," kata RHB Research. - DagangNews.com








