KUALA LUMPUR 19 Jun — Dianggarkan kira-kira 20 peratus daripada usahawan bumiputera diunjur terjejas disebabkan kesan tarif Amerika Syarikat (AS) sekiranya duti itu diteruskan pada awal Julai 2025.
Perkara itu diakui Presiden Persatuan Pengilang dan Industri Perkhidmatan Bumiputera Malaysia (Pengilang), Datuk Dr Azman Yusoff yang turut berharap agar isu berkenaan dapat ditangani segera.
Kata beliau, sebahagian besar dari kalangan mereka yang bakal terjejas teruk itu meliputi sektor berkaitan industri semikonduktor sekiranya Malaysia tetap dikenakan tarif sebanyak 24 peratus.
"Langkah AS itu bukan sahaja memberi beban teruk kepada pengeksport kita apabila kos pengeluaran bertambah, malahan harga bahan mentah dijangka meningkat drastik," katanya pada sidang akhbar.
Beliau menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan Pengilang Ke-32 dirasmikan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Datuk Mohd Mustafa Abdul Aziz.
Presiden Donald Trump pada 1 April 2025 mengumumkan puluhan negara termasuk Malaysia dikenakan tarif baharu itu bagi melindungi perdagangan AS sebelum ditangguhkan selama tempoh 90 hari.
Mengulas lanjut, Azman berkata, pihak kerajaan sendiri meminta Pengilang agar tidak terlalu bergantung kepada AS namun sebaliknya mempelbagaikan pasaran kepada negara bukan tradisional.
"Ini turut digariskan sendiri oleh Matrade dan secara kebetulan berlaku pula perang Iran-Israel ketika ini yang sebenarnya boleh menjejaskan pasaran Malaysia di rantau Asia Barat," tambahnya.

Berdasarkan senario yang tidak menentu itu, beliau menyambut baik usaha pantas digerakkan agensi tersebut dengan mula meneroka pasaran baharu seperti Asia Selatan, Asia Tengah dan Amerika Latin.
Pengilang sendiri kata beliau, turut bekerjasama rapat dengan Matrade apabila merancang misi ke Maghribi dalam masa terdekat untuk menggalakkan usahawan bumiputera menembusi pasaran Afrika.
Lebih menarik, rancangan organisasi tersebut juga menerima sokongan Matrade sendiri kerana negara berkenaan dianggap sebagai strategik di rantau Afrika Utara dan pintu masuk ke Eropah Barat.
"Kami amat gembira kerana pihak Matrade dijangka melibatkan sekali misi pemasaran itu ke Mesir yang mungkin selama ini agak kurang diberikan perhatian oleh usahawan bumiputera," kata Azman.
Selain itu, beliau bersyukur apabila dimaklumkan yang Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju secara prinsip menaikkan tuntutan geran pembangunan pemasaran kepada pengeksport.
Perkembangan positif tersebut katanya, membolehkan mereka membuat tuntutan sehingga RM50,000 berbanding sebelum ini hanya RM25,000 apabila menyertai misi ke luar negara dengan Matrade.
Ia juga tambah beliau, antara insentif yang disediakan dan dijangka memanfaatkan sejumlah 2,804 syarikat bumiputera memperluaskan pasaran eksport kepada lebih banyak negara di seluruh dunia.
"Saya juga difahamkan, Matrade ada menawarkan skim dana eksport perkhidmatan yang akan memberi faedah besar kepada sebanyak 264 syarikat bumiputera dikenal pasti berpotensi," kata beliau.
Pelbagai program lain turut dirancang agensi di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri itu kata Azman, yang melibatkan tambahan peruntukan keseluruhan berjumlah RM50 juta.
Sehubungan itu beliau menyeru lebih 1,500 anggota Pengilang dan usahawan bumiputera di seluruh Malaysia merebut banyak inisiatif Matrade dalam memperkasakan perniagaan mereka. - DagangNews.com








