Pengguna segmen MLM kurang berbelanja punca untung Beshom merosot 39.6% YoY, kata TA Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pengguna segmen MLM kurang berbelanja punca untung Beshom merosot 39.6% YoY, kata TA Securities

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 29 SeptBeshom Holdings Berhad menghadapi cabaran berterusan apabila keuntungan teras suku pertama tahun kewangan 2026 merosot 39.6% tahun ke tahun (YoY) kepada RM1.6 juta.

 

Menurut TA Securities, perkembangan lemah tersebut dipengaruhi terutamanya oleh faktor pengurangan perbelanjaan dalam kalangan penggunanya melibatkan segmen pemasaran pelbagai peringkat (MLM).


Pendapatan keseluruhan syarikat meningkat 6.2% YoY kepada RM35.5 juta, namun margin kasar lebih rendah dalam segmen MLM dan runcit menyebabkan prestasi keuntungan teras yang amat mengecewakan.


"Kami mendapati kedua-dua segmen berkenaan hanya menyumbang sebanyak 10% daripada jangkaan penuh setahun dan konsensus pasaran," kata firma penyelidikan tersebut dalam satu notanya hari ini.


Segmen MLM jelas TA Securities, mencatatkan penurunan ketara apabila pendapatan sebelum faedah dan cukai (EBIT) pada tempoh suku pertama FY26 merosot kira-kira 72.6% YoY kepada sebanyak RM0.4 juta.


Ia berikutan penurunan hasil 14.3% YoY kepada RM11.0 juta, manakala faktor utama ialah pengurangan perbelanjaan pengguna, kadar pengambilan ahli lebih perlahan dan persaingan sengit dalam pasaran.


Segmen runcit juga mengalami kerugian operasi besar, dengan pendapatan merosot 11.5% YoY kepada RM6.7 juta, dipengaruhi oleh permintaan lemah terhadap produk premium dalaman dan peningkatan kos.


"Sebaliknya segmen borong mencatatkan prestasi positif dengan peningkatan EBIT sebanyak 91.8% YoY kepada RM0.7 juta, dipacu permintaan tinggi produk kesihatan dan jualan teh," kata TA Securities.


Firma berkenaan menurunkan unjuran keuntungan teras FY26, FY27 dan FY28 kepada masing-masing RM8.9 juta, RM12.9 juta dan RM13.4 juta daripada sebelumnya RM15.0 juta, RM16.5 juta dan RM17.1 juta.


Penyusutan ramalan tersebut jelasnya, selepas mengambil kira margin EBIT yang lebih rendah dalam segmen MLM dan runcit serta langsung tiada sebarang dividen diumumkan Beshom bagi suku kali ini. 


Selain itu, TA Securities berpandangan, tempoh suku kedua FY26 dijangka kekal mencabar tanpa ada permintaan secara bermusim, dengan sentimen para pengguna pula yang didapati semakin berhati-hati.


"Kami difahamkan yang kumpulan ini akan terus mengkaji beberapa pelan insentif bagi meningkatkan motivasi tenaga jualan dan meningkatkan lagi produktiviti dalam segmen MLM," kata firma berkenaan.


Berdasarkan situasi semasa itu, ia menurunkan sasaran harga saham Beshom kepada 58 sen daripada 64 sen sesaham, berasaskan nisbah harga kepada pendapatan (PE) sebanyak 15 kali untuk tahun depan.


TA Securities turut menukar saranannya kepada 'jual' berbanding 'pegang' sebelum ini berikutan risiko operasi yang berterusan dan sentimen pasaran adalah lemah. - DagangNews.com