KUALA LUMPUR 14 Ogos — Dianggarkan kira-kira 41 peratus pengguna media berbahasa Cina di Malaysia, Singapura dan Thailand berbelanja lebih AS$7,000 (RM29,450) setahun membeli barang premium.
Dapatan itu didedahkan sebuah firma penyelidikan berpangkalan di Hong Kong, EternityX menerusi laporan terbaharu diterbitkannya hari ini mengenai corak perbelanjaan semasa kelompok berkenaan.
Kajian kertas putih 'Perubahan Asia Tenggara: Kebangkitan Pengguna Media China Mentakrifkan Semula Kehidupan Moden dan Kuasa Pengguna' itu menilai keupayaan golongan ini dalam kehidupan seharian.
"Bagaimanapun, kami mendapati lebih daripada 60 peratus responden yang terlibat dalam tinjauan ini turut melabur secara aktif hampir separuh pendapatan mereka," kata EternityX dalam satu kenyataan.
Media berbahasa Cina di Malaysia secara kelazimannya merujuk kepada penerbitan lima judul akhbar harian utama iaitu Sin Chew Daily, China Press, Nanyang Siang Pau, Guan Ming Daily dan Kwong Wah Yit Poh.
Selain itu, masyarakat Tionghua negara ini menikmati beberapa saluran radio berbahasa Cina antaranya Ai FM yang dikendalikan RTM serta stesen 988 FM, Melody FM, GoXuan, CITY Plus, Eight FM dan TEA FM.
Mengulas lanjut, EternityX berkata, kira-kira 82 peratus responden tersebut menghabiskan antara satu sehingga empat jam setiap hari mengikuti pelbagai perkembangan menerusi platform media digital.
"Kami turut mendapati trend aktiviti e-dagang secara rentas sempadan yang cukup kukuh terutama di Singapura dengan mencatatkan 41 peratus, manakala Thailand pula sebanyak 42 peratus," katanya.

Di Malaysia tambahnya, pengguna media Cina mempamerkan hubungan emosi dan budaya yang cukup kuat dengan 43 peratus daripada mereka didapati merupakan kelompok gemar berbelanja produk premium.
Golongan ini kata EternityX, turut dikenal pasti sebagai begitu berkecenderungan mengutamakan aspek penjagaan kesihatan dan automotif yang berkualiti tinggi, aktiviti percutian serta perkhidmatan mewah.
Mereka diketahui sering bertindak balas pantas terhadap pelbagai kempen yang dipacu tema festival, penglibatan komuniti setempat dan sentimen naratif yang berkaitan dengan aspek kebudayaan unik.
"Di samping itu, responden ini didapati lebih suka gabungan pengalaman dalam talian dan secara peribadi dengan penekanan yang tinggi pada kepercayaan jenama dan nilai untuk wang," tambahnya.
Mengulas mengenai laporan ini, Pengarah Urusan, Global di EternityX, Neil Yan berkata, dapatan tersebut mendedahkan lebih daripada sekadar trend masyarakat Cina, selain ia menilai rentak pergerakan.
Pengguna media Cina adalah sekutu strategik untuk mana-mana jenama yang ingin meluaskan ke seluruh Asia dan bagi tujuan pemasaran, mesejnya ringkas tetapi mendesak penyesuaian diri dengan segmen ini.
Beliau memberi amaran, sekiranya isu ini diabaikan, jenama terbabit berisiko ketinggalan dalam gelombang pertumbuhan seterusnya di seluruh Asia Tenggara terutama yang melibatkan komuniti berkenaan.
"Kefasihan digital dan ketangkasan budaya mereka menjadikan golongan Cina sebagai penasihat untuk era inovasi pengguna yang berikutnya di rantau ASEAN," kata Neil. - DagangNews.com








