KUALA LUMPUR 21 April - Pengguna di Malaysia kini dilihat bukan sekadar mengurangkan perbelanjaan, sebaliknya mula menyesuaikan corak penggunaan secara lebih menyeluruh bagi menghadapi tekanan kos sara hidup susulan konflik di Timur Tengah, menurut kajian dilakukan Rakuten Insight.
Firma penyelidikan itu berkata, pengguna Malaysia juga tidak melihat krisis bekalan itu sebagai kejutan sementara, tetapi satu tekanan berstruktur yang perlu dihadapi dengan bijak.
"Hanya 2.9% responden Malaysia percaya gangguan di Selat Hormuz telah berakhir. Lebih tiga perempat menjangkakan sekurang-kurangnya sebulan lagi gangguan.
"Sementara itu hampir satu pertiga menjangka ia berlarutan melebihi enam bulan. Ini menunjukkan pengguna tidak lagi melihatnya sebagai kejutan sementara, sebaliknya tekanan berstruktur," katanya dalam kenyataan.
Firma penyelidikan itu berkata, kajian mendapati hampir satu daripada lima rakyat Malaysia, atau 19.9%, mula memilih produk buatan tempatan berbanding barangan import sebagai strategi mengurus kos, khususnya akibat turun naik nilai ringgit.
Katanya, perubahan tingkah laku itu dilihat signifikan memandangkan ia tidak muncul dalam gelombang tinjauan pada Mac.
Malah katanya, trend pembatalan langganan juga semakin meningkat sebagai langkah utama pengguna dalam menghadapi tekanan kewangan.
"Gelombang kedua kajian ini menunjukkan trend jelas, kebimbangan dan keraguan meningkat, manakala jangkaan tempoh tekanan dijangka berlarutan.
"Semua ukuran yang dijejak sejak Mac bergerak ke arah yang sama iaitu tiada satu pun indikator keyakinan, daya tahan atau optimisme yang menunjukkan peningkatan.
"Kejutan awal penutupan Selat Hormuz pada Mac bukanlah kemuncak, sebaliknya merupakan titik permulaan kepada tekanan," katanya.
Dalam masa sama, kajian mendapati peningkatan jumlah perbelanjaan bagi barangan runcit dan utiliti tidak mencerminkan pertambahan permintaan, sebaliknya didorong kenaikan harga.
"Pengguna dijangka berbelanja lebih kerana keperluan, bukan pilihan," katanya.
Sementara itu Pengarah Negara Rakuten Insight Malaysia dan Thailand, Collin Leow berkata, peralihan antara gelombang pertama dan kedua kajian jelas menunjukkan perubahan asas dalam tingkah laku pengguna.
“Peralihan kepada jenama tempatan dan penyesuaian gaya hidup bukan lagi langkah kecemasan, sebaliknya petunjuk awal bahawa pengguna sedang menstruktur semula corak perbelanjaan mereka untuk jangka panjang,” katanya.
Perbezaa Sentimen Pengguna Malaysia, Thailand
Kajian mendapati walaupun berdepan tekanan ekonomi global yang sama, sentimen pengguna di Malaysia dan Thailand menunjukkan perbezaan ketara dari segi keutamaan kebimbangan.
Di Malaysia, kebimbangan utama tertumpu kepada kos makanan, dengan 35.8% responden menyifatkan harga makanan dan barangan runcit sebagai tekanan terbesar.
Faktor ini mengatasi kebimbangan terhadap harga bahan api, keselamatan pekerjaan serta komitmen pinjaman, manakala bahan api berada di kedudukan kedua pada 24.1%.
Sebaliknya, di Thailand, kebimbangan pengguna lebih tertumpu kepada kos bahan api dan pengangkutan. Sebanyak 34.4% responden meletakkan faktor itu sebagai kebimbangan utama, diikuti makanan pada kadar 26.8%.
Perbezaan ini mencerminkan struktur ekonomi yang berbeza antara kedua-dua negara. Malaysia sebagai negara pengeluar minyak secara relatifnya dilindungi oleh mekanisme subsidi bahan api, manakala Thailand sebagai pengimport bersih minyak lebih terdedah kepada turun naik harga global.
Keadaan ini menyebabkan kesan kejutan bekalan minyak global diterjemahkan secara berbeza dalam sentimen pengguna, walaupun punca tekanan adalah sama.
“Bagi Malaysia, tekanan dirasai di dapur, manakala di Thailand ia dirasai di pam minyak. Bacaan sama tetapi simptom berbeza, dan ini memberi implikasi besar kepada perniagaan yang beroperasi di kedua-dua pasaran,” kata Collin Leow.
Gelombang 3 kajian tekanan kos Rakuten Insight yang dijadualkan pada Mei dijangka memberikan gambaran sama ada tekanan terhadap pengguna mula reda atau penyesuaian struktur yang sedang berlaku akan berterusan, tanpa mengira pergerakan harga minyak pada masa hadapan. - DagangNews.com








