KUALA LUMPUR 22 April — Sekiranya konflik di Timur Tengah berpanjangan, pengguna dijangka berhati-hati dalam perbelanjaan dengan memberi keutamaan kepada barangan keperluan harian serta beralih kepada pilihan lebih murah.
Firma penyeidikan RHB Research namun masih yakin sektor produk pengguna di negara ini adalah kekal sebagai antara pelaburan paling defensif dalam keadaan pasaran yang tidak menentu untuk masa terdekat.
Justeru, ia mengekalkan penarafan 'overweight' terhadap sektor berkenaan, disokong asas permintaan domestik yang kukuh serta sokongan berterusan daripada kerajaan melalui subsidi dan bantuan tunai.
“Walaupun terdapat tekanan seperti krisis tenaga dan ketidaktentuan geopolitik, sektor ini masih bertahan kerana bergantung kepada pasaran domestik dan ada keterlihatan hasil,” kata RHB Research.
Ia menjelaskan, penggunaan swasta dijangka terus menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi negara ini, disokong oleh keadaan pasaran buruh yang sihat, pertumbuhan gaji dan pengukuhan ringgit.
Konflik di Timur Tengah namun menimbulkan risiko utama kepada sektor itu menerusi tekanan inflasi akibat kos tenaga dan logistik mahal, gangguan rantaian stok serta penyusutan sentimen pengguna.
Setakat ini ujar RHB Research, kesan kenaikan kos masih terkawal dan gangguan bekalan bersifat terpencil, manakala komitmen kerajaan mengekalkan subsidi bahan api membantu mengekang inflasi.

“Sekiranya konflik berpanjangan, pengguna dijangka berhati-hati dalam perbelanjaan dengan memberi keutamaan kepada barangan keperluan harian serta beralih kepada pilihan lebih murah,” jelasnya.
Pada masa sama tambah firma penyelidikan tersebut, pemain industri tempatan dijangka meningkatkan promosi serta melaksanakan langkah pengoptimuman kos bagi mengekalkan kadar permintaan pengguna.
Dari sudut kos operasi, RHB Research berkata, kebanyakan syarikat belum berdepan kenaikan ketara, dengan kos pengangkutan yang masih terkawal melalui skim Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).
Bagaimanapun ujarnya, kenaikan kadar penghantaran serta harga bahan mentah seperti resin plastik dan minyak sawit mentah (CPO) berpotensi memberi tekanan kepada pengeluar makanan dan minuman.
"Gangguan rantaian bekalan pula masih minimum, dengan banyak syarikat tiada masalah besar bahan mentah, kecuali beberapa kes terpencil seperti kekurangan resin plastik untuk botol," jelasnya.
Dalam persekitaran itu, RHB Research mengesyorkan pelabur memberi tumpuan kepada syarikat dengan produk berasaskan keperluan asas, dan dapat menetapkan harga serta margin keuntungan yang kukuh.
Antara pilihan utama ialah Nestle (Malaysia), Farm Fresh, Mr DIY Group, Eco-Shop Marketing dan AEON Co (M), yang dilihat mampu mengekalkan prestasi kewangan meskipun berdepan tekanan kos.
Risiko utama tambahnya termasuk konflik geopolitik sekiranya berpanjangan, gangguan bekalan berskala besar serta kemerosotan sentimen pengguna yang lebih ketara. - DagangNews.com








