KUALA LUMPUR 23 Dis - Koperasi Permodalan Felda Malaysia Berhad (KPF) menegaskan ia adalah entiti koperasi pelaburan dan bukannya beroperasi sebagai bank, kata Pengerusinya Datuk Mohd Banuri Aris.
Sehubungan itu tambahnya, segala urusan pengeluaran dana ahli tidak boleh dilakukan secara serta-merta seperti akaun simpanan bank kerana ia tiada kecairan bagi memenuhi transaksi dalam masa serentak.
Bagaimanapun, beliau memahami kekecewaan segelintir pencarum berhubung isu kelewatan pembayaran jualan saham dan dividen yang didakwa masih belum dilunas koperasi itu selepas hampir dua tahun.
“Pengurusan dana dibuat melalui perancangan, perbincangan lembaga, dan pelan mitigasi yang mengambil kira kelangsungan perniagaan serta kepentingan majoriti pelabur," katanya kepada Astro Awani.
Keutamaan pengeluaran namun kata Mohd Banuri, masih diberikan kepada lima kategori utama termasuk jemaah haji dan umrah, pesakit kronik, pendidikan serta kes kecemasan termasuk kes mahkamah.
Menurut beliau, setakat ini kira-kira 17% pelabur membuat pengeluaran, manakala 83% kekal sebagai pelabur tegar, dan KPF sudah memproses permohonan pengeluaran modal syer berjumlah RM909.95 juta.
Artikel berkaitan: Pelabur KPF dakwa bayaran balik hasil saham tertunda hampir 2 tahun jejas kebajikan peneroka Felda
Jelasnya, ia melibatkan tempoh 2020 hingga 2025, dengan bayaran penuh RM543.6 juta bagi 2020 hingga 2023, sementara dari 2020 hingga 2024, dividen berjumlah RM659.7 juta sudah diagihkan.
"Ini menjadikan keseluruhan manfaat kepada anggota mencecah RM1.2 bilion, dan KPF ada melaksanakan Pelan Rasionalisasi Aset Pelaburan bermula Julai 2024, melibatkan penstrukturan semula," tegasnya.
Sebahagian perancangan tersebut tambah Mohd Banuri, telah selesai dimuktamadkan pada Julai 2025 dan sudah dibentangkan kepada anggota melalui Mesyuarat Agung Kawasan (MAK) sepanjang tahun ini.
Dalam perkembangan berkaitan, kira-kira 100 pencarum KPF mengadakan perhimpunan secara aman dari Jalan Maktab, Kampung Datuk Keramat ke Balai FELDA bagi menuntut pembayaran saham tertunggak.
Wakil pelabur berkenaan, Ahmad Karami Lebai Yunus yang ditemui pemberita mendakwa penantian tanpa penghujung menjejaskan kebajikan ramai dari kalangan warga emas dan waris peneroka Felda sendiri.
Katanya, walaupun hak pelabur belum dilunaskan, pihak KPF pula didapati masih meluluskan pembiayaan sehingga RM200,000 dalam tempoh singkat, yang disifatkan sebagai pengurusan kewangan songsang.
“Kami menuntut pembayaran penuh dengan segera membabitkan kesemua tunggakan jualan saham serta jadual pembayaran yang bertarikh dan dilaksanakan secara muktamad,” tegas Ahmad Karami. - DagangNews.com








