Pengerusi eksekutif Sealink International muncul pemegang saham besar Borneo Oil dengan pegangan 6.99% | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pengerusi eksekutif Sealink International muncul pemegang saham besar Borneo Oil dengan pegangan 6.99%

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 27 Mac - Borneo Oil Bhd menyaksikan kemunculan Lo Ling sebagai pemegang saham besar selepas beliau meningkatkan pegangan dalam syarikat itu kepada 6.99%.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata Lo memperoleh sebanyak 500 juta saham atau bersamaan 3.29% pegangan menerusi urus niaga pasaran pada 25 Mac lalu.

 

Lo merupakan pengerusi eksekutif Sealink International Bhd, sebuah syarikat yang terlibat dalam industri marin luar pesisir.

 

Susulan transaksi itu, pegangan Lo dalam Borneo Oil meningkat kepada 1.06 bilion saham atau 6.99%.

 

Bagaimanapun, harga pembelian saham tersebut tidak didedahkan. Berdasarkan anggaran kasar, nilai transaksi berkenaan dianggarkan sekitar RM2.5 juta, mengambil kira harga penutupan saham Borneo Oil pada kadar setengah sen ketika itu.

 

Dari segi prestasi kewangan, Borneo Oil mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM42.23 juta bagi tempoh enam bulan berakhir 31 Disember 2025, berbanding kerugian bersih RM139.84 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Penyusutan kerugian itu disokong oleh peningkatan hasil sebanyak 6% kepada RM41.25 juta daripada RM38.92 juta sebelumnya.

 

Sementara itu, saham Borneo Oil ditutup tidak berubah pada paras setengah sen pada Khamis, sekali gus memberikan kumpulan itu permodalan pasaran sekitar RM76 juta. - DagangNews.com