KUALA LUMPUR 3 Nov - Langkah strategik YTL Power International Berhad membangunkan pusat data (DC) yang berskala besar di Johor terus mengukuh kedudukan kumpulan, menurut MBSB Research.
Firma penyelidikan tersebut berkata, usaha di Taman DC Hijau YTL di Kulai itu turut menjadikan syarikat utiliti tempatan berkenaan sebagai peneraju baharu segmen ekosistem digital dan tenaga hijau.
Berdasarkan perkembangan itu, ia mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) juga tidak berubah kepada RM4.88 sesaham yang menawarkan peluang kemasukan menarik kepada pelabur berminat.
"Kami menilai pengembangan YTL Power ke dalam perniagaan DC sebagai pemangkin utama pertumbuhan secara jangka panjang positif syarikat tersebut," tambah MBSB Research dalam notanya hari ini.
Di samping itu, syarikat berusaha mengembalikan kehadiran kukuhnya dalam sektor utiliti Malaysia menerusi projek sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS) dan kapasiti baharu penjanaan tenaga gas.
Syarikat berkenaan jelas firma itu lagi, turut berpotensi memperkukuh portfolio tenaganya apabila berjaya meraih kuota sebanyak 100MW di bawah projek solar berskala besar (LSS) 5+ baru-baru ini.
YTL Power kata MBSB Research, menyiapkan sepenuhnya kemudahan DC dijana kecerdasan buatan (AI) berkapasiti 20MW di Kulai yang kini dilengkapi dengan GPU NVIDIA NVL72 Grace Blackwell (GB200).
"Ia antara cip AI tercanggih dunia dan perkembangan ini turut diumumkan dalam taklimat mengenai kemajuan projek serta peranan penting Malaysia dalam pembangunan landskap AI berdaulat," jelasnya.
Sebahagian kapasiti DC ini akan disewa firma berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), manakala baki kapasiti digunakan oleh YTL Power membangunkan model bahasa besar (LLM) dan rumusan AI dalaman.
MBSB Research menambah, projek ini merupakan sebahagian daripada taman DC yang berkapasiti 500MW, dengan 300MW sedang dibina dan dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh dua tahun akan datang.
Segmen pusat data YTL Power itu katanya, sudah mula menjana pendapatan dan mencatatkan keuntungan kasar yang positif, meskipun sumbangan kewangan sebenarnya dinilai sebagai masih lagi kecil.
"Pengurusan menjangkakan impak pendapatan yang lebih ketara akan mula dirasai pada FY27, apabila lebih banyak kemudahan di Taman DC Hijau YTL mula beroperasi," jelas firma penyelidikan tersebut.
Ia turut mengekalkan unjuran pendapatan serta penilaian dengan TP yang dikekalkan itu mencerminkan tahap keyakinan MBSB Research terhadap prospek pertumbuhan jangka panjang kumpulan berkenaan.
Selain itu, ia menegaskan gabungan kepakaran tenaga, penggunaan teknologi AI berkuasa tinggi, dan komitmen terhadap tenaga hijau menjadikan YTL Power dalam kedudukan strategik. - DagangNews.com








