Pengeluaran ubat tempatan mula ditingkatkan lebih agresif tangani isu kos rawatan mahal — BMI | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pengeluaran ubat tempatan mula ditingkatkan lebih agresif tangani isu kos rawatan mahal — BMI

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 26 Mac — Usaha kerajaan mengawal kos rawatan kesihatan awam kini memasuki fasa lebih agresif apabila pengeluaran ubat tempatan dijangka dipertingkat, menurut nota analisis BMI.


Firma penyelidikan di bawah Fitch Solutions itu menambah, langkah berkenaan dilaksanakan di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) sebagai usaha memperkasakan pengilang tempatan.


Usaha itu bakal mengubah landskap industri farmaseutikal negara dengan penggunaan ubat generik yang lebih murah, sekali gus mengurangkan kebergantungan tinggi kepada ubat import berharga mahal.


"Dasar perolehan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan memberi kelebihan kepada syarikat yang melabur dalam pengeluaran tempatan dan membolehkan kerajaan merunding balik harga," kata BMI.


Di samping itu jelas firma berkenaan, tindakan tersebut membolehkan pihak kerajaan untuk lebih mengutamakan ubat generik dengan kos rendah dan tidak membebankan golongan berpendapatan kecil.


“Pendekatan kali ini tambahnya, dijangka dapat mempercepatkan peralihan perolehan sektor awam kepada ubat generik tempatan yang lebih kos efektif berbanding kaedah pengimportan," tambahnya.

 

ubat_dagangnews

 

BMI turut mendedahkan yang kerajaan sebenarnya sudah berjaya menjimatkan lebih RM900 juta dalam tempoh dua tahun lalu hasil keutamaan terhadap penggunaan ubat generik di sektor awam dan swasta.


Teras strategi itu ialah pendekatan 'generic first', dengan ubat generik dijadikan pilihan utama preskripsi di farmasi, selaras agenda Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dan Kertas Putih Kesihatan.


Di bawah Belanjawan 2026, peruntukan kesihatan awam ditetapkan RM46.5 bilion, meningkat berbanding RM45.3 bilion pada tahun sebelumnya, meskipun perbelanjaan keseluruhan kerajaan adalah menyusut.


"Pada masa sama, kami menjangkakan perolehan sektor awam semakin beralih kepada ubat generik yang lebih murah, sejajar dengan keutamaan keselamatan bekalan dan kawalan kos kerajaan," kata BMI.


Bagaimanapun, perkembangan itu bakal meningkatkan tekanan persaingan terhadap pengeluar yang ingin mengembangkan pasaran, berikutan peralihan dasar ke arah rawatan mampu milik. - DagangNews.com