KUALA LUMPUR 26 Nov - Ta Ann Holdings Berhad berdepan risiko pengeluaran segmen perladangan yang boleh terjejas pada tempoh 4Q25 berikutan keadaan cuaca tidak menentu terutamanya di Sarawak.
Bagaimanapun, CGS International masih lagi menjangka positif yang kumpulan tersebut berkeupayaan untuk mencatatkan prestasi kewangan kukuh sepanjang suku terakhir berkenaan secara keseluruhan.
Ketidaktentuan cuaca jelas firma penyelidikan tersebut adalah kekal sebagai faktor utama yang perlu dipantau kerana ia boleh menekan hasil buah tandan segar (BTS) dan momentum pemulihan berlangsung.
"Ia berikutan pada tempoh 9M25, Ta Ann merekodkan keuntungan bersih teras RM146 juta, naik 20% tahun ke tahun (YoY), mencapai 71% daripada unjuran setahun penuh kami," katanya dalam satu nota.
Peningkatan berkenaan tambah CGSI, didorong oleh sumbangan lebih tinggi daripada segmen perladangan serta pemulihan jualan dalam segmen perkayuan berlaku sepanjang sembilan bulan pertama tahun ini.
Keuntungan bersih teras 3Q25 turut meningkat kepada RM62 juta, naik 46% suku ke suku (QoQ) disokong peningkatan BTS dan minyak sawit mentah (MSM) selain dibantu kenaikan harga jualan purata (ASP).
Sementara itu jelas firma berkenaan lagi, segmen perkayuan mencatat pemulihan dengan untung kasar RM2.4 juta selepas lima suku kerugian, dipacu permintaan eksport yang kukuh, terutamanya ke Jepun.
"Walaupun isu cuaca boleh menjejaskan output, kami menjangkakan keputusan 4Q25 kekal lebih baik QoQ dan YoY kerana faktor pengeluaran yang tinggi hasil perubahan corak tuaian di Sarawak," tambahnya.
Bagi unjuran 2026 pula, CGSI kekal berpandangan positif dengan andaian harga MSM lebih tinggi pada RM4,500 setiap tan dan sumbangan daripada aktiviti perkayuan kumpulan itu yang akan bertambah baik.
Jelasnya, dividen interim ketiga sebanyak 10 sen sesaham yang diumumkan Ta Ann, menjadikan jumlah dividen setakat ini 30 sen, tinggi daripada jangkaan atau bersamaan hasil sekitar 7% bagi FY25.
Sehubungan itu, firma penyelidikan tersebut mengekalkan saranan 'tambah' dengan harga sasaran tdai berubah RM6.85, sambil menekankan kedudukan tunai bersih kumpulan berkenaan kukuh iaitu 81 sesaham.
CGSI namun mengingatkan risiko utama iaitu cuaca tidak menentu boleh menekan output perladangan, di samping isu kebimbangan permintaan segmen perkayuan yang lebih lembap dan kos operasi meningkat.
"Secara keseluruhan, potensi asas kukuh serta prospek 2026 yang positif, selain hasil dividen sekitar 7% menjadikan Ta Ann kekal sebagai menarik untuk pelabur berminat," jelasnya. - DagangNews.com








