KUALA LUMPUR 12 Jun — Pengeluaran perindustrian di Malaysia berkemungkinan berkembang sederhana dalam tempoh terdekat, selepas lemah daripada jangkaan pada April 2025, menurut penganalisis.
BIMB Securities berkata, walaupun tarif Amerika Syarikat (AS) digantung buat sementara waktu, namun tarif 10 peratus yang sedia ada terus menjejaskan prospek industri berorientasikan eksport.
Firma penyelidikan tersebut menambah, sekiranya kenaikan tarif timbal balik itu diteruskan oleh AS pada Julai 2025, prestasi eksport Malaysia berkemungkinan besar boleh menghadapi tekanan baharu
"Langkah pelaksanaan cukai import berkenaan seterusnya boleh mempengaruhi pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara ini secara keseluruhan pada 2025," katanya dalam satu nota kajian.
Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPI) Malaysia, yang mengukur kadar pembuatan, perlombongan dan tenaga adalah 2.7 peratus tahun ke tahun pada April 2025, berbanding ramalan 4% dan angka Mac 3.2%.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin dalam kenyataan semalam berkata, hanya sektor pembuatan yang menyaksikan kemajuan positif apabila berlaku peningkatan sebanyak 5.6 peratus.
Bagaimanapun menurut TA Securities, bacaan IPI yang direkodkan sebagai lebih lemah pada bulan tersebut, masih sejajar dengan jangkaan pertumbuhan KDNK yang juga sederhana pada suku kedua 2025.
"Secara keseluruhan, data IPI yang terkini diterbitkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) itu menunjukkan permulaan secara hambar dalam tempoh tiga bulan suku kedua tahun ini," kata firma itu.
Sementara itu, Kenanga Research telah menyemak semula unjuran pertumbuhan pembuatan 2025 Malaysia kepada kira-kira 3.9 peratus iaitu penyusutan ketara daripada anggaran awal sebanyak 4.7 peratus.
Firma penyelidikan berkenaan turut menjangkakan sektor perkhidmatan dan pembinaan pula akan terus memacu permintaan domestik, untuk mengimbangi kesan negatif daripada faktor ketidaktentuan luaran.
"Kami tidak menjangkakan kadar itu bertahan pada tempoh 2HFY25 tetapi sektor ini mendapat manfaat kitaran peningkatan teknologi berterusan dan permintaan domestik yang berdaya tahan," katanya.
TA Securities, bagaimanapun, mengekalkan unjuran pertumbuhan IPI setahun penuhnya kepada 2 peratus, disokong daya tahan ekonomi tempatan dan banyak projek infrastruktur di Malaysia sepanjang 2025.
Ia memetik ramalan tinjauan terbaharu oleh Persatuan Industri Semikonduktor, dengan pertumbuhan 11.2 peratus dalam jualan cip di seluruh dunia tahun ini kepada AS$700.9 bilion (RM2.97 trilion).
Produk tersebut juga kata firma tersebut, akan mencatatkan peningkatan kepada AS$760.7 bilion (RM3.22 trilion) pada 2026, yang diunjur menjadi pemacu sektor pembuatan elektronik Malaysia. - DagangNews.com








