Pengeluaran buah tandan segar pulih, kos minyak sawit mentah Hap Seng turun pada 2HFY25 - HLIB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pengeluaran buah tandan segar pulih, kos minyak sawit mentah Hap Seng turun pada 2HFY25 - HLIB

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 17 SeptHap Seng Plantations Holdings Berhad menikmati kejatuhan kos pada tempoh separuh kedua tahun ini berikutan pemulihan pengeluaran buah tandan segar (BTS).


Menurut Hong Leong Investment Bank (HLIB), keadaan tersebut berpotensi menurunkan lagi kos pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) yang dilaksanakan kumpulan perladangan berkenaan.


Firma penyelidikan itu bagaimanapun berkata, jumlah pengeluaran BTS bagi lapan bulan pertama 2025 sebenarnya merosot sebanyak 7.9% tahun ke tahun (YoY) kepada kira-kira 372,000 tan.


"Ia kesan hujan lebat awal tahun dan perubahan corak tanaman, namun pengeluaran menunjukkan pemulihan sejak Julai dan dijangka berterusan hingga Oktober," kata firma itu dalam notanya.


Faktor pengeluaran yang lebih tinggi itu kata HLIB, diyakini dapat meringankan isu tekanan kenaikan kos buruh dan baja, sekali gus menurunkan kos pengeluaran MSM sepanjang tahun.


Tambah firma berkenaan, pada separuh pertama 2025, kos pengeluaran MSM meningkat kira-kira 3% kepada RM2,603 setiap tan, dipacu oleh masalah kos buruh dan baja yang lebih tinggi.


Namun, dengan pemulihan output BTS pada separuh kedua 2025, pengurusan Hap Seng menjangkakan kos turun kepada antara RM2,200 dan RM2,300 setiap tan bagi keseluruhan tahun kewangan 2025.


“Peningkatan 'output' pula dijangka dapat mengimbangi kesan penuh daripada kenaikan gaji minimum pekerja serta penggunaan baja yang lebih tinggi ketika tempoh tersebut," kata HLIB.


Selain itu, kesan daripada pelaksanaan caruman wajib KWSP bagi pekerja warga asing yang bermula Oktober 2025 juga dinilai sebagai ‘minimum’ oleh pihak pengurusan syarikat tersebut.


Hap Seng kata firma penyelidikan berkenaan, turut berada di landasan untuk memulakan operasi loji biogas yang ketiga di Kilang Minyak Sawit Tomanggong, Sabah menjelang akhir 2025.


Fasiliti itu dijangka mengurangkan kebergantungan kepada diesel, menurunkan pelepasan gas metana serta menghasilkan hasil sampingan kaya nutrien yang dapat menggantikan baja kimia.


"Syarikat ini terus mengekalkan kunci kira-kira yang kukuh, dengan tunai bersih meningkat kepada RM653.6 juta setakat 30 Jun 2025, berbanding RM624.2 juta pada akhir 2024," katanya.


HLIB turut menyifatkan faktor kekuatan aliran tunai ini sebagai faktor penyokong kepada pembayaran dividen yang baik, satu tarikan utama bagi pelabur berorientasikan hasil.


Susulan semakan terhadap andaian termasuk kos pengeluaran MSM rendah, output BTS yang kecil serta harga isi rong sawit lebih tinggi, ia menaikkan unjuran keuntungan bersih Hap Seng.


Peningkatan itu sebanyak 8.4%, 1.1% dan 0.9% masing-masing untuk FY25, FY26 dan FY27, serta mengekalkan saranan ‘beli’ dengan harga sasaran kepada RM2.20 berbanding RM2.17 sebelum ini.


“Walaupun syarikat menghadapi cabaran awal tahun, pemulihan output dan kawalan kos serta projek strategik seperti loji biogas memberikan prospek sederhana yang baik,” katanya. - DagangNews.com