Pengeluar sarung tangan WRP Asia Pacific gulung tikar: 1,426 termasuk 304 rakyat Malaysia hilang kerja | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pengeluar sarung tangan WRP Asia Pacific gulung tikar: 1,426 termasuk 304 rakyat Malaysia hilang kerja

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 22 April – Seramai 1,426 pekerja di WRP Asia Pacific Sdn Bhd di Sepang terjejas selepas syarikat pengeluar sarung tangan itu melantik pelikuidasi susulan keputusan untuk menamatkan operasinya, menurut Kementerian Sumber Manusia. 

 

Daripada jumlah tersebut, 304 merupakan pekerja tempatan manakala 1,122 lagi ialah pekerja asing.

 

Kementerian Sumber Manusia memaklumkan pelantikan pelikuidasi itu berlaku selepas Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) menerima aduan pada 16 April.

 

JTKSM kemudian mengesahkan bahawa WRP telah mengeluarkan notis penamatan serta-merta yang berkuat kuasa 15 April.

 

Sebelum ini, Bloomberg News melaporkan WRP akan menutup operasi pada April susulan gangguan serius rantaian bekalan global akibat konflik di Timur Tengah, yang turut memberi kesan kepada industri tenaga dan petrokimia, sekali gus menjejaskan kos serta ketersediaan bahan mentah.

 

Syarikat itu memaklumkan peningkatan ketara kos bahan mentah berasaskan petrokimia serta bahan kimia, selain ketidaktentuan jadual bekalan daripada pembekal yang terus menuntut bayaran pendahuluan, menurut surat kepada pelanggan bertarikh 31 Mac.

 

JTKSM turut memaklumkan satu mesyuarat penyelarasan telah diadakan bersama pelikuidasi, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan pihak polis bagi menguruskan impak penutupan operasi tersebut.

 

Semua tuntutan gaji dan pampasan pekerja akan diproses melalui sistem bukti hutang (proof of debt, POD) di bawah pengurusan pelikuidasi.

 

Menurut kementerian itu lagi, gaji bagi Mac 2026 telah dibayar sepenuhnya, manakala bayaran bagi April masih dalam proses. 

 

Sebahagian pekerja tempatan juga akan ditawarkan kontrak jangka pendek bagi membantu kerja penutupan operasi termasuk dokumentasi serta penyelenggaraan aset kilang, manakala Perkeso sedang membantu penempatan semula pekerja melalui platform MYFutureJobs serta menyediakan khidmat kaunseling kerjaya. 

 

Bantuan kebajikan termasuk penginapan dan makanan bagi pekerja asing turut diteruskan sehingga proses pemindahan dan penempatan selesai. - DagangNews.com