Pengecualian e-Invois dan LPG bersubsidi bukti keprihatinan kerajaan ke atas PKS, kata Samenta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pengecualian e-Invois dan LPG bersubsidi bukti keprihatinan kerajaan ke atas PKS, kata Samenta

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 6 Jun — Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta) menyifatkan dua langkah yang diumumkan pihak berkuasa sepanjang minggu ini sebagai mencerminkan keprihatinan kerajaan ke atas perusahaan kecil dan sederhana (PKS).


Presidennya, Datuk William Ng berkata, pihaknya menyambut baik usaha tersebut yang bukan sahaja tepat pada masanya, malah menunjukkan pemahaman mendalam terhadap cabaran sebenar dihadapi oleh perniagaan berskala kecil di peringkat akar umbi.


Beliau merujuk pengecualian e-Invois untuk perusahaan berpendapatan tahunan kurang RM500,000 oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) serta penangguhan permit tong Gas Petroleum Cecair (LPG) yang bersubsidi terhadap para peniaga makanan.


"Samenta telah memberikan banyak input berhubung isu-isu ini, dan kami amat berterima kasih kerana kerajaan telah menunjukkan keprihatinan serta sokongan terhadap golongan perniagaan yang paling terkesan," kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.


Mengulas lanjut, William menyifatkan pengecualian LHDN itu melindungi peniaga kecil dan kedai milik keluarga, yang tiada kelengkapan infrastruktur digital, daripada beban pematuhan e-Invois serta boleh menyebabkan mereka beroperasi secara tidak formal.


Penangguhan pelaksanaan e-invois bagi perniagaan berpendapatan di bawah RM5 juta kepada 1 Januari 2026 juga kata beliau, memberi ruang kepada PKS membuat persediaan dan penting bagi perniagaan meneruskan hidup dalam landskap ekonomi semasa.


"Sementara penangguhan keperluan permit LPG bersubsidi membantu melindungi pencarian ribuan keluarga peniaga tempatan meskipun bersifat pentadbiran kecil, tetapi kesannya besar kepada kesinambungan perniagaan dan kos sara hidup rakyat," katanya.


Wiliam menambah, ribuan perniagaan kecil, terutama sektor mikro serta tidak formal, mungkin boleh terjejas teruk dan Samenta amat menghargai pendekatan proaktif kerajaan yang mengelakkan krisis perniagaan mikro daripada berlaku di peringkat nasional.


Lebih penting lagi, dua langkah itu menghantar mesej jelas dan positif bahawa kerajaan mengiktiraf PKS sebagai tonggak utama ekonomi negara, serta bersikap responsif dan bersedia menambah baik dasar berdasarkan maklum balas dari peringkat akar umbi.


"Bagi pihak ahli kami dan komuniti PKS secara keseluruhan, kami merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri kerana sekali lagi membuktikan bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang mesra perniagaan," katanya. - DagangNews.com