Pengasas Country Heights tegaskan semua hutang Mines Waterfront Business Park sudah diselesaikan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pengasas Country Heights tegaskan semua hutang Mines Waterfront Business Park sudah diselesaikan

Foto kredit Mines Waterfront Business Park
Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 27 Nov – Tan Sri Lee Kim Yew menegaskan Grand Wellness Hub Sdn Bhd (GWH) sudah pun menyelesaikan semua hutang Mines Waterfront Business Park Sdn Bhd (MWBP) berjumlah RM3.5 juta.


Pengasas Country Heights Holdings Berhad (CHHB) itu berkata, syarikat berkenaan ada bukti tuntutan hutang (POD) yang berjaya diselesaikan penuh namun kesal tindakan oleh pelikuidasi masih diteruskan.


Situasi tersebut jelas beliau, menimbulkan kerisauan terhadap tahap ketelusan dan integriti proses likuidasi, meskipun semua hutang berkenaan sebenarnya dilunaskan anak syarikat CHHB, iaitu GWH sendiri.


"Segala pembayaran telah disalurkan, termasuk cek RM1.73 juta pada 26 November 2025, melengkapkan pembayaran penuh POD yang diiktiraf secara sah," kata Kim Yew dalam satu kenyataan hari ini.


Bagaimanapun, pelikuidasi dilaporkan terus mengiklankan penyataan hasrat (EOI) menjual Menara MWBP pada 11 November 2025, yang menimbulkan persoalan isu prosedur dan motivasi di sebalik tindakan.


Berdasarkan kronologi, isu berpunca daripada pertikaian perundangan dengan pembeli Mines Waterfront Designer Suites, yang membawa kepada permohonan pembubaran terhadap MWBP pada 17 Februari 2023.


Walaupun begitu, rayuan syarikat sebelum ini telah membatalkan keputusan awal Mahkamah Tinggi dan menurut GWH, jumlah POD sebenar yang diiktiraf Jabatan Insolvensi Malaysia (MDI) adalah RM3.5 juta.
 

Lee Kim Yew
LEE KIM YEW


Pelikuidasi namun kemudian melaporkan jumlah yang jauh berbeza, sehingga hampir RM99 juta, sekali gus menimbulkan kekeliruan dan keraguan berhubung aspek ketelusan rekod kewangan bagi kes tersebut.


Justeru, Kim Yew menegaskan, tiada entiti di Malaysia, sama ada syarikat atau individu, sepatutnya boleh berasa bimbang mengenai kehilangan hak mereka selepas menunaikan kewajipan pelunasan hutang.


Beliau turut mempersoalkan tindakan pelikuidasi masih meneruskan EOI, walaupun pembayaran kesemua hutang telah berjaya diselesaikan, dan menyeru transparensi penuh serta pematuhan undang-undang.


CHHB dan GWH sudah mengambil tindakan termasuk menghantar surat tuntutan rasmi, memohon campur tangan MDI dan mahkamah, serta menyeru pihak berkuasa untuk menyiasat sebarang salah laku kes.


Ini termasuk daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), manakala sesi perbicaraan bagi menamatkan perintah penggulungan dijadualkan pada Februari 2026.


Kes MWBP itu juga jelas Kim Yew, menimbulkan persoalan secara lebih luas mengenai isu perlindungan hak perniagaan, pemilik rumah, dan pemiutang, serta tahap kepercayaan integriti sistem insolvensi di Malaysia.


Keadaan berkenaan katanya, terutama apabila sesebuah syarikat sebenarnya telah membayar penuh semua hutang yang diiktiraf tetapi masih lagi berisiko kehilangan hartanya sendiri. - DagangNews.com