KUALA LUMPUR 4 April — Pembuat produk keluli, Mayu Global Group Berhad mengesahkan Pengarah Eksekutifnya, Tan Kim Hee telah pun ditahan oleh polis Bukit Aman pada 2 April 2025 untuk membantu siasatan yang sedang dijalankan.
Kumpulan itu, yang sebelum ini dikenali sebagai Atta Global Group Berhad, dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata, ia tidak diberitahu sama ada kes berkaitan dengan syarikat tersebut dan jenis siasatan masih tidak diketahui.
Mayu Global berkata, Pengarah Eksekutifnya ketika ini iaitu Goh Chin Heng, Chow Choon Hoong dan Tan Qian Hui, akan memikul sementara peranan serta tanggungjawab bagi memastikan kesinambungan operasi kumpulan berkenaan.
"Berdasarkan kepada penilaian semasa, siasatan ini dijangka tidak akan memberi kesan kewangan atau operasi material kepada kumpulan Mayu," katanya.
Kim Hee dilantik menganggotai Lembaga Pengarah Mayu Global sebagai Pengarah Bukan Eksekutif Bukan Bebas pada Mac 2018 sebelum dilantik sebagai Pengarah Eksekutif pada Februari 2020, menurut laporan tahunan 2024 kumpulan tersebut.
Beliau ialah bapa kepada Pengarah Eksekutif Kumpulan, Qian Hui, dan juga merupakan pemegang saham besar yang menguasai sebanyak 11.095 peratus kepentingan dalam kumpulan itu.
Kim Hee juga dilaporkan sebagai abang ipar kepada pengasas Kumpulan MBI, Tedy Teow Wooi Huat.
Minggu lalu, polis dipercayai telah memanggil beberapa tokoh korporat di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang sebagai sebahagian daripada siasatan mereka terhadap jejak wang skim piramid MBI yang kini sudah tidak lagi berfungsi.
Operasi dikendalikan Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram Bukit Aman itu menyaksikan rampasan pelbagai dokumen urus niaga hartanah dan saham melibatkan entiti berkaitan MBI, termasuk pembangunan Bayan Mutiara di Pulau Pinang.
Ia adalah operasi terbesar pertama polis ke atas MBI berikutan penyiasatan berbulan-bulan mengenai jejak wang skim itu dan mengejutkan ramai pihak di negeri Utara tersebut kerana dijalankan terus oleh Bukit Aman.
MBI ialah skim piramid berpangkalan di Pulau Pinang yang memperdagangkan syiling digital tidak dibenarkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dan pada satu peringkat, didakwa mengutip beberapa bilion ringgit daripada pelabur, termasuk dari China.
Bagaimanapun, skim haram itu runtuh pada 2018 berikutan serbuan oleh BNM, yang menyebabkan beribu-ribu pendeposit kerugian teruk, dengan sejumlah RM177 juta dibekukan daripada akaun dimiliki MBI Group International.
Kejatuhan MBI juga mencetuskan tindakan undang-undang dan bantahan daripada pendeposit China, apabila sebahagian daripada mereka sanggup pergi ke Kuala Lumpur untuk mendapatkan kembali pulangan pelaburan.
Sementara itu, Wooi Huat pula berjaya melarikan diri ke Thailand pada 2019 tetapi dapat ditahan pihak berkuasa negara tersebut pada 2022 sebelum diekstradisi ke China pada Ogos 2024.
Mayu Global mencatatkan keuntungan bersih RM2.01 juta untuk enam bulan berakhir 30 Jun 2025, berbanding kerugian bersih sebanyak RM1.32 juta dalam tempoh sama 2024, didorong oleh faktor perbelanjaan operasi yang lebih rendah.
Pendapatan setengah tahun syarikat itu bagaimanapun susut sebanyak 12.8 peratus kepada RM40.42 juta berbanding RM46.33 juta yang dicatatkan sebelumnya. - DagangNews.com








