KUALA LUMPUR 12 Jun — Kadar pengangguran pada April 2025 yang julung kali mencecah 3.0 peratus, iaitu paras terendah dalam tempoh 10 tahun disebabkan ramai memilih bekerja tidak formal, menurut Maybank Investment Bank (Maybank IB).
Firma penyelidikan tersebut berkata, situasi itu dapat dilihat apabila Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) sendiri melaporkan jumlah pembuangan pekerja di seluruh negara sebenarnya meningkat kepada 29.7 peratus bulan ke bulan (MoM).
Peningkatan tinggi itu tambahnya, disebabkan banyak syarikat dan perniagaan terpaksa melakukan usaha penstrukturan semula susulan situasi semasa dan faktor kebimbangan pelaksanaan tarif Amerika Syarikat (AS) ke atas pasaran global.
"Keadaan itu mengakibatkan mereka yang diberhentikan kerja menceburi segmen tidak formal dengan pendapatan harian sebagai peniaga kecil, penjaja, pekebun, bekerja sendiri atau sektor gig," kata Maybank IB dalam nota kajiannya.
Berdasarkan data DOSM itu, bilangan penduduk bekerja sendiri bertambah sebanyak 0.6 peratus pada April 2025 kepada 3.16 juta orang dengan trend peningkatan secara berterusan sejak Januari 2021 yang ketika itu merekodkan 2.39 juta.
Perkembangan tersebut kata firma berkenaan, menunjukkan kurang penawaran pekerjaan formal baharu berikutan ramai lepasan Sijil Pelajaran Malaysia yang tidak mahu menyambung pengajian ke peringkat tinggi memasuki pasaran buruh tempatan.

Situasi negatif itu diburukkan lagi dengan kemasukan graduan institusi pengajian tinggi dalam dan luar negara yang mengakibatkan kadar pengangguran belia adalah kekal 10.3 peratus pada April 2025 untuk bulan keempat berturut-turut.
"Angka ini secara perbandingan adalah rendah sedikit daripada data keseluruhan sepanjang 2024 yang merekodkan 10.5 peratus, sekali gus kekal di atas paras terendah pra-pandemik sebanyak 9.9% pada Disember 2019," kata Maybank IB.
Bagaimanapun, kadar pengangguran yang rendah dan stabil secara berterusan adalah selaras dengan situasi guna tenaga penuh dan penyusutan bilangan penganggur menunjukkan pekerja diberhentikan dapat lagi mencari pekerjaan baharu.
Semalam, Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin dalam kenyataannya memaklumkan angka pengangguran menerusi tinjauan DOSM pada April 2025 turun kepada 3.0 peratus dengan mencatatkan 525,900 orang tidak bekerja.
Bilangan penduduk yang bekerja pada bulan itu pula katanya, meningkat sebanyak 0.2 peratus MoM kepada 16.82 juta orang dengan sebahagian besar terlibat dalam sektor perkhidmatan dan aktiviti perdagangan. - DagangNews.com








