KUALA LUMPUR 29 Ogos – Capital A Berhad menampilkan prestasi kukuh bagi suku kedua tahun kewangan 2025, sekali gus selari asas syarikat keluar status Nota Amalan 17 (PN17) menjelang November 2025.
Penganalisis berkata, kumpulan tersebut melaporkan keuntungan bersih utama mencecah RM1.4 bilion pada tempoh 2QFY25 berbanding kerugian RM542.5 juta dicatatkan pada suku yang sama tahun lalu.
Lonjakan itu didorong keuntungan pertukaran asing (forex) serta peningkatan margin operasi selain menyuntik keyakinan kejayaan pelan penstrukturan semula Capital A yang kini berada di fasa akhir.
Menurut Maybank Investment Bank (Maybank IB), keuntungan bersih Capital A bagi separuh pertama tahun kewangan (1HF25) iaitu RM343.4 juta, adalah 67% daripada anggaran setahun penuh firma itu.
"Faktor utama kejayaan ini adalah harga purata bahan api jet lebih rendah daripada jangkaan dan kadar forex yang lebih kukuh sekitar RM4.38 bagi dolar Amerika Syarikat (AS)," katan firma itu.
Situasi positif tersebut tambahnya, membolehkan pengurangan ketara dalam kos operasi memandangkan dianggarkan 60% hingga 70% perbelanjaan penerbangan di dunia adalah dalam mata wang dolar AS.
Kata Maybank IB, walaupun unit syarikat itu, AirAsia Thailand pula mencatatkan kerugian pada suku tersebut susulan kelembapan pelancongan dari China, kumpulan ini secara keseluruhan kekal teguh.
Ia menjangkakan 3QFY25 mungkin terkesan oleh kos penyelenggaraan tinggi melibatkan penghantaran semula lima pesawat, namun 4QFY25 dijangka pulih semula dengan dorongan permintaan musim cuti.
"Capital A menyasarkan penamatan status PN17 menjelang November 2025 menerusi penyusunan semula dan pelupusan aset utama, serta terus meneroka penyenaraian jenama AirAsia di pasaran Nasdaq," katanya.
Maybank IB masih lagi mengekalkan saranan 'beli' ke atas kumpulan tersebut dengan harga sasaran (TP) juga tidak berubah kepada RM1.09 sesaham, dan menawarkan potensi kenaikan melebihi 30%.
Artikel berkaitan: Capital A raih RM1.5 bilion Q2FY2025, suku ketiga berturut-turut catat keuntungan
Sementara itu, Public Investment Bank (PublicInvest) turut optimistik terhadap prospek Capital A selepas menolak item luar biasa seperti keuntungan forex yang mencecah RM900 juta.
Pendapatan kumpulan katanya, susut sedikit 2.4% tahun ke tahun (YOY) kepada RM4.4 bilion disebabkan kelembapan pelancongan di Thailand, namun kecekapan operasi Capital A terus memberi impak positif.
"Kos per kilometer tempat duduk tersedia (CASK) juga merosot 17% kepada 19.22 sen, hasil daripada faktor harga bahan api yang lebih rendah dan pelan penyelenggaraan stabil," kata firma berkenaan.
Unit bukan penerbangan seperti Asia Digital Engineering (ADE) dan Teleport menunjukkan pertumbuhan memberangsangkan masing-masing merekodkan peningkatan pendapatan sebanyak 26.3% dan 13.2% YoY.
PublicInvest menambah, margin keuntungan operasi kumpulan berkenaan turut didapati sudah mula melonjak, yang menandakan kejayaan secara positif pengurusan kos dan pertumbuhan e-dagang.
Kata firma itu, pelan regularisasi Capital A sedang menghampiri penyempurnaan, dengan tarikh sasaran terbaharu ditetapkan pada November 2025 dan beberapa syarat akhir masih perlu dipenuhi.
"Ini termasuk penempatan saham RM1 bilion dan kelulusan pihak berkuasa berkaitan, namun kami terus mengekalkan saranan 'outperform' dengan TP tidak berubah RM1.57 sesaham," katanya. - DagangNews.com








