Penganalisis unjur peningkatan tarif elektrik kukuhkan prospek pertumbuhan Solarvest | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Penganalisis unjur peningkatan tarif elektrik kukuhkan prospek pertumbuhan Solarvest

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 21 Mei - Kenaikan bil elektrik susulan pengurangan rebat pelarasan kos bahan api automatik (AFA) dilihat mengukuhkan prospek Solarvest Holdings Berhad, menurut penganalisis.



Mereka berpandangan, situasi itu menjadi pemangkin besar kepada peningkatan penggunaan tenaga solar, dan memberi kelebihan sebagai antara penerima manfaat utama peralihan tenaga negara.


Antara yang berpendirian positif ialah RHB Research dengan mengekalkan saranan 'beli' dan harga sasaran (TP) lebih tinggi RM3.64 berbanding RM3.49 sebelum ini selepas menilai prestasi FY26.


"Peningkatan tarif elektrik akibat rebat AFA dikurangkan dan kemungkinan surcaj tambahan oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) dijangka mempercepatkan lagi pertumbuhan Solarvest," jelasnya.


Kumpulan tersebut mencatatkan keuntungan bersih teras FY26 sebanyak RM87.7 juta, meningkat lebih 54% tahun ke tahun (YoY), manakala buku tempahan yang belum dibil pula naik kepada RM2.5 bilion.


Menurut firma penyelidikan tersebut, kemenangan kontrak solar berskala besar (LSS5+) bernilai RM1.1 bilion baru-baru ini meningkatkan keterlihatan pendapatan sehingga tiga tahun akan datang.


“Dengan jangkaan tender LSS6 berkapasiti 2GW bernilai RM10 bilion dibuka pada separuh kedua 2026, kami terus positif terhadap prospek pengembangan buku tempahan kumpulan ini,” kata RHB Research.


Di samping itu, ia turut menaikkan unjuran pendapatan Solarvest dari FY27 hingga FY29 selepas mengambil kira peningkatan tempahan bagi segmen komersial dan industri (C&I) serta kediaman.

 

Margin EPCC Mula Tertekan Akibat Kos Panel Solar

AmInvestment Bank pula mengekalkan saranan 'pegang' dan TP RM2.65 sesaham berikutan kebimbangan terhadap tekanan margin segmen kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC).


Firma itu berkata, walaupun keuntungan FY26 meningkat 54% kepada RM79.8 juta, margin perolehan kasar EPCC pula sedikit menyusut kepada 15.2% akibat kenaikan kos logistik dan harga panel solar.


"Majoriti buku tempahan Solarvest tertumpu kepada projek utiliti berskala besar dengan sekitar 91% terdiri daripada projek LSS dengan hanya baki 9% menerusi segmen kediaman serta C&I," jelasnya.


Bagaimanapun AmInvest mengiktiraf kekuatan syarikat itu sebagai peneraju pasaran solar EPCC dengan pegangan pasaran sekitar 30%, selain sumbangan semakin kukuh daripada syarikat bersekutu.


Sementara itu, Phillip Capital mengekalkan saranan 'beli' dan TP RM3.52 sambil menyifatkan prospek kekal kukuh disokong peningkatan agresif buku tempahan dan projek tenaga boleh diperbaharui (RE).


Ujarnya, Solarvest kini memiliki portfolio aset solar melebihi kapasiti 500MW yang dijangka mampu menjana pendapatan berulang sekitar RM53 juta apabila semua aset yang siap dapat diaktifkan.


“Jika kumpulan ini mampu mengekalkan pegangan pasaran sekitar 30% dalam tender LSS6, syarikat berpotensi menambah kira-kira RM3 bilion lagi kepada buku tempahan,” katanya. - DagangNews.com